suria

Hukuman penjara seumur hidup pembunuh Along Spoon dipinda, bebas lagi 10 tahun

Kes pembunuhan Along Spoon masih segar diingatan peminat.

MAHKAMAH Persekutuan meminda hukuman penjara seumur hidup kepada pemenjaraan 33 tahun terhadap bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh penyanyi era 90-an, Along Spoon.

Hukuman pindaan itu bermula dari tarikh tertuduh iaitu Mohamed Ya'acob Demyati, 57, ditangkap pada 4 Januari 2000.

Sebelum ini Ya'acob dijatuhkan hukuman gantung sampai mati namun diringankan kepada penjara seumur hidup selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuan yang dibuat.

a

Mohamed Ya'acob Demyati dipercayai orang terakhir bersama Allahyarham.

Keputusan pindaan itu dibuat lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Khamis yang merupakan hari kedua persidangan selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Selain Ketua Hakim Negara, prosiding tersebut turut dihadiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, seramai dua belas termasuk Ya’acob terlepas daripada hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas mahkamah tertinggi itu menukarkannya kepada penjara 30 tahun dan ke atas serta sebatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Cukup Sekali' Bukan Hak Milik Kumpulan Spoon

ARTIKEL BERKAITAN: Imbasan 15 Tahun Kisah Sedih, Pembunuhan Along (Spoon)

Bagaimanapun, Ya'acob turut terlepas hukuman sebatan atas faktor usia kerana berumur lebih 50 tahun.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Ya'acob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu, didakwa membunuh Sabi'ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi 26 Disember 1999.

Alongg

Along Spoon terkenal dengan lagu Rindu Serindu Rindunya.

Along Spoon dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Pada 2 November 2010, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir dibuat Ya'akob dan mengekalkan hukuman gantung terhadapnya.

Bagaimanapun hukuman itu diringankan kepada penjara seumur hidup selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain