JENAZAH penyanyi Suhaimi Saad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor kira-kira pukul 9.30 pagi Khamis. Allahyarham Suhaimi atau Suhaimi Mohd Saad, 43, sebelum itu dimandi dan dikafankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu pada malam Rabu sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kota Tinggi untuk solat jenazah. Anggota kumpulan InTeam iaitu Rahim memberitahu mStar, kira-kira 150 jemaah hadir melakukan solat jenazah buat Allahyarham. "Solat jenazah dibuat sebanyak dua kali iaitu di hospital sebelum dibawa ke kediaman keluarga Allahyarham. Suhaimi bersama kumpulan Inteam. "Alhamdulillah ramai datang solat jenazah tadi, sekitar 150 orang," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Suhaimi meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru kira-kira pukul 7.42 malam pada Rabu selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 4 November lalu. Bercerita mengenai sahabatnya itu, Rahim atau Abdul Rahim Osman, 43, berkata, Suhaimi merupakan seorang yang berpewatakan ceria selain suka menghiburkan orang lain. ARTIKEL BERKAITAN: Suhaimi Saad sakit sejak Ogos, Ina Naim dedah suami mahu hidup sehingga usia 43 tahun sahaja ARTIKEL BERKAITAN: Suhaimi Saad meninggal dunia Jelas Rahim, gaya percakapan dan riak wajah lucu Suhaimi juga sudah cukup membuatkan orang di sekelilingnya terhibur. "Dia seorang yang sangat baik. Dia suka menghiburkan ketika kami dalam Inteam dan arwah sentiasa menceriakan suasana. "Dia (lawak) bukan pada perkataan tapi gaya dan cara dia bercakap termasuk riak wajahnya pun kita boleh ketawa," ujarnya. Suhaimi berkahwin dengan Ina Naim dan dikurniakan empat cahaya mata. Sementara itu, Rahim berkata, Suhaimi seorang bapa yang pandai mendidik empat anaknya dan kesemua mereka mempunyai akhlak yang baik. "Kalau tengok anak-anak arwah pun, sangat bagus... baik-baik semuanya. Arwah memang seorang bapa yang baik dan berjaya mendidik anak-anaknya," katanya. Untuk rekod, Suhaimi mendirikan rumah tangga dengan Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9 tahun. Suhaimi mula aktif menyanyi pada tahun 1999 dengan menyertai kumpulan InTeam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!