PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) mendesak agar penganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dibatalkan. Ketua Pemuda PUM, Dr Muhammad Alihanafiah Norasid berkata, penganjuran konsert berbaur hedonisme itu jelas melalaikan umat Islam dan rakyat Malaysia selain ia jauh daripada norma dan tatasusila tempatan. Alihanafiah juga memberitahu penganjuran konsert itu juga boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Coldplay bakal mengadakan konsert di Malaysia pada 22 November depan. "PUM menyelar sekerasnya penganjuran konsert ini yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. "Kemungkaran yang tidak dicegah akan menjemput bala bencana yang tidak hanya ditimpakan ke atas orang yang zalim dan pelaku dosa semata," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar pada Ahad. Dalam pada itu, Alihanafiah berkata, konsert itu boleh mencemarkan minda umat Islam dengan hiburan melampau bahkan berisiko terjajah dengan krisis identiti yang cuba dinormalisasikan beberapa pihak. ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Ulama ISMA desak konsert Coldplay dibatal, hormati kesedihan terhadap rakyat Palestin ARTIKEL BERKAITAN: Bunga Isme sedar diri, lapang dada dianggap tak layak jadi penyanyi pembukaan konsert Coldplay Tambahnya, konsert itu yang diadakan ketika rakyat Palestin sedang diganyang rejim Zionis Israel tanpa belas boleh mengheret rakyat Malaysia khususnya anak muda agar tidak sensitif dengan jenayah kemanusiaan dan korban jiwa yang terus meningkat. "Harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan, dan genosid di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza. PUM menganggap konsert Coldplay mencemarkan minda umat Islam. "Bukalah mata dan bangkitlah di saat saudara kita di Gaza sedang dibedil dan dibantai dengan penuh rakus dan sadis sementara sebahagian umat Islam masih hanyut dibuai mimpi dan kealpaan," katanya. Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah turut menasihatkan supaya konsert Coldplay tidak diteruskan kerana disifat melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini. Luqman berkata, konsert tersebut jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!