suria

Sisi lucu M. Nasir buat konsert ‘Gendang Pati’ istimewa, kumpulan koir Sam Tet Voice curi perhatian penonton

Persembahan M. Nasir bersama kumpulan koir Sam Tet Voice mencuri perhatian.

AURA seorang Datuk M. Nasir sekali lagi berjaya memukau 3,000 penonton yang hadir ke Konsert Gendang Pati Live in Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Konsert yang berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu turut memperlihatkan M. Nasir atau Mohammad Nasir Mohamed, 66, menyampaikan tujuh buah lagu yang disifatkan karya kegemilangannya.

Segmen berkenaan membuatkan penonton kembali mengimbau kenangan indah dan puncak populariti M. Nasir menerusi Gadisku, Setahun Sudah Berlalu, Kabul Serangkai Mawar, Tiara, Fantasia Bulan Madu, Hukum Karma dan Pawana.

"Ini merupakan lagu-lagu kegemilangan saya," ujarnya ringkas.

nasir3 - 1

Sikap lucu dan bersahaja M. Nasir menghiburkan penonton.

Sering tampil dengan kelainan dalam setiap persembahannya, konsert kali ini M. Nasir turut mengundang kumpulan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices bagi mengiringi lagu Bagaikan Sakti.

Kata penyanyi itu, dia tertarik dengan kemantapan vokal kumpulan koir berkenaan selepas pertama kali menonton persembahan mereka di Terengganu.

"Ketika di Terengganu, saya menonton persembahan mereka dan kumpulan koir ini juga pernah mencipta beberapa kejayaan di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Album baharu M Nasir hujung tahun, konsert 'Gendang Pati' pula hadiah buat peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Lagu 'viral' ganggu seniman serius berkarya - M. Nasir

"Malah baru-baru ini mereka mewakili negara dalam sebuah pertandingan di Korea Selatan," katanya.

Sepanjang tiga jam konsert berlangsung, penonton bukan hanya dihiburkan dengan seleksi lagu-lagu popular, malah sikap lucu penghibur tersebut turut menarik perhatian ramai.

Penyanyi berkenaan sempat bergurau dengan peminat tentang konsert Aina Abdul yang diadakan pada hari sama di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur.

M. Nasir berjaya memukau hampir 3,000 penonton.

M. Nasir memberikan persembahan bertenaga.

"Apa khabar semua? Betul ni tak menyesal tak pergi ke konsert Aina Abdul? Saya pun dah siapkan pakaian," katanya sambil menunjuk pada busana hijau yang digayakan.

Pun begitu, M. Nasir menyifatkan dalam kegembiraan pasti ada kesedihan dihadapi yang merujuk kepada kesengsaraaan penduduk di Gaza, Palestin.

M.Nasir turut mempersembahkan sebuah lagu berjudul Masirah yang diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin iaitu Muhammad Al-Durrah yang berdepan dengan tentera Israel.

nasir2 - 1

M. Nasir turut menunjukkan solidariti terhadap rakyat Gaza.

Suasana pentas bertukar sayu dengan nyalaan lampu berwarna merah dan hijau memberi simbolik kepada bendera Palestin.

Konsert Gendang Pati M.Nasir secara keseluruhannya menampilkan 26 buah lagu termasuk Phoenix Bangkit, Tanya Sama Hud Hud, Langgam Pak Dogo, Raikan Cinta, Apokalips dan Mentera Semerah Padi.

Konsert tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan artis termasuk Datuk Hattan, Hetty Koes Endang, Jep Sepahtu, Ayai Ilusi, Erma Fatima, Nana Mahazan dan Misha Omar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain