PERSONALITI media sosial Abang Tesla menasihatkan golongan isteri agar lebih berhati-hati dengan tingkah laku suami mereka terutamanya yang mempamerkan sikap baik di hadapan mereka. Abang Tesla atau Muhammad Khal Iltizam Yusry berkata, ramai dalam kalangan rakan-rakannya yang kelihatan baik tetapi ada orang lain meskipun sudah berkahwin. "Untuk isteri di luar sana jangan rasa suami itu baik depan anda tapi kononnya tiada yang lain. Ramai kawan-kawan saya macam itu. "Para isteri perlu berhati-hati, pergi tengok telefon pasangan anda, tengok lokasi dia dekat mana, buat panggilan video kalau rasa tak percaya, lebih-lebih lagi yang selalu out station," katanya. Abang Tesla sendiri pernah berdepan dengan kecaman netizen. Khal berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya. Tidak hanya golongan wanita, Khal turut meminta lelaki yang memilih mengamalkan poligami agar tidak merasakan diri paling hebat apabila mampu berkahwin dua. Sebaliknya katanya, mereka harus sedar ia adalah berat dan perlu melaksanakan tanggungjawab sebaiknya. "Untuk lelaki pula jangan rasa terpaling baik, terpaling bagus, istiqamah sama-sama. Laksanakan tanggungjawab dengan baik, jangan salahkan orang lain," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: “Terlihat ceria padahal hampir gila” - Kapsyen jadi teka teki, netizen doakan isteri pertama Abang Tesla tabah jalani ujian ARTIKEL BERKAITAN: Alif Teega mengaku kahwin dua, Aisyah Hijanah minta tak cakap buruk tentang suami Mengulas mengenai kontroversi melibatkan Alif Teega, Khal meminta orang ramai berhenti mengecam personaliti media sosial itu sebaliknya mendoakan mereka. Khal berkata, apa dilalui Alif ketika ini sama dengannya termasuk mendapat kecaman hebat daripada netizen yang langsung tidak mengetahui perkara sebenar di sebalik. "Netizen seolah-olah sudah cukup sempurna, tiada dosa. Macam kebahagiaan rumah tangga netizen yang bercakap itu sangat sempurna. "Minta doa yang baik-baik untuk Alif dan Aisyah, kita semua tidak tahu perkara begini (poligami) bila-bila masa sahaja boleh berlaku," katanya. Nama Alif dan Aisyah sedang hangat diperkatakan netizen. Ahad lalu, Alif atau Mohd Hazalif Mohd Hazani, 29, membuat pengakuan dia berpoligami dan penjelasan itu dibuat bagi mengelak timbul fitnah. Isteri pertamanya, Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 28, pula meminta orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan kedua suaminya itu. Sekitar Ogos lalu, Khal juga pernah menerima kecaman teruk apabila dia berkahwin dua dan mendapat restu isteri pertamanya iaitu Nurmajdina. Isu itu bagaimanapun menjadi perdebatan hangat apabila Khal mengeluarkan kenyataan isteri pertama untuk dihargai dan isteri kedua untuk dicintai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!