WALAUPUN sudah 37 tahun bertapak dalam dunia hiburan, kumpulan rock Belantara memberitahu masih belum ramai mengenali mereka khususnya dalam kalangan generasi muda. Vokalis Belantara iaitu Zaid atau Mohamed Zaid Yusoff berkata nama mereka kurang mendapat perhatian mungkin disebabkan lirik dan muzik diketengahkan sukar diterima pendengar. "Sebelum ini kami mungkin kurang mendapat liputan pihak media kerana kami mengetengahkan ekspresi artistik dalam karya yang tidak banyak ditonjolkan. Belantara mempunyai pengikut mereka tersendiri. "Kalau kami berkongsi cerita dengan media pun mereka tidak boleh menyiarkannya kerana pada waktu itu pendedahan tidak begitu terbuka seperti hari ini. "Hidup kami bukan untuk 'dijual'. Apa yang kami tawarkan adalah karya lagu-lagu yang mungkin menunjukkan cara hidup kami sendiri," katanya kepada mStar. Zaid berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Showcase 2.0 Belantara yang diadakan di Kona Mokapot Coffee, Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Konsert 3 jam Aina Abdul buat 10,000 penonton puas, sebahagian jualan tiket disumbangkan untuk Palestin ARTIKEL BERKAITAN: Sisi lucu M. Nasir buat konsert ‘Gendang Pati’ istimewa, kumpulan koir Sam Tet Voice curi perhatian penonton Selain Zaid yang juga seorang penulis lagi, Belantara turut dianggotai oleh Aziz Ismail (gitaris utama) dan Shukri Salleh (pemain bass) yang ditubuhkan pada 1986. Mereka merupakan sahabat baik sewaktu belajar di Amerika Syarikat dan menjadi artis rakaman dibawah naugan syarikat Polygram Malaysia. Belantara pernah melancarkan tiga buah album iaitu Belantara (1987), Srikandi Di Sisi (1988) dan Infiniti (1990). Hidup kami bukan untuk 'dijual'. Apa yang kami tawarkan adalah karya lagu-lagu yang mungkin menunjukkan cara hidup kami sendiri. MOHAMED ZAID YUSOFF VOKALIS BELANTARA Biarpun menubuhkan kumpulan sewaktu menuntut di luar negara, Belantara masih mahu memilih nama komersial daripada bahasa Melayu kerana ingin membawa jati diri negara dalam pengaruh muzik mereka. "Apabila kami berada di sana (AS), adakah adil sekiranya kami ingin memberi nama kumpulan menggunakan bahasa Inggeris? "Saya tahu untuk lebih komersial perlu menggunakan nama berbahasa Inggeris tetapi kami lebih selesa untuk menggunakan nama kumpulan daripada bahasa Melayu. "Lagi pun sewaktu di AS, nama ini jugalah yang membezakan kami dengan kumpulan-kumpulan penyanyi lain. Tambah pula, di sana juga ramai pelajar yang berasal dari Malaysia," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Belantara bakal menganjurkan sebuah persembahan iaitu Belantara Showcase 2.0 yang bakal berlangsung di PJ Performing Arts Centre 1 Utama, Petaling Jaya pada 7 Disember ini. Belantara sekali lagi bakal menghiburkan peminat di Showcase 2.0. Showcase ini merupakan susulan daripada Showcase Belantara yang diadakan pada Februari 2020. Untuk Showcase 2.0 kali ini menawarkan lebih banyak lagu kegemaran peminat dan penerbitan persembahan yang lebih baik anjuran serta dibiayai sendiri oleh peminat Belantara. Peminat boleh terus mendapatkan tiket menerusi laman web PJ PAC di pjpac.com.my. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!