suria

Selepas 15 tahun akhirnya Ziana Zain kembali bersaing di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38... “Ikutkan saya sudah malas”

Ziana Zain mahu memberikan persembahan yang terbaik untuk lagu Waktu pada SFMM38.

BAKAL berentap bersama 29 buah lagu lain di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38), penyanyi Ziana Zain berkata dia enggan memikirkan mengenai saingan sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik menerusi lagu Waktu duet bersama Hasif Upin.

Kata Ziana atau Siti Roziana Zain, 55, dia secara peribadi sudah tiada keinginan untuk menyertai pertandingan nyanyian kerana faktor usia, namun dia memilih untuk meneruskan perjuangan bagi menghargai karya dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik.

"Saya harap saya boleh nyanyi sahaja pada hari itu. Tidak fikir akan saingan. Hanya fikir pasal nyanyian dan adakah orang puas dengan nyanyian saya. Itu yang membuatkan kita (penyanyi) ke peringkat yang lain.

Ziana 1

Ziana Zain ketika ditemui media.

"Kalau ikutkan umur ini saya sudah malas. Ia ibarat seperti ibu bersama anak yang bertanding tapi saya fikir satu sahaja iaitu untuk menghargai orang yang bagi lagu kepada saya.

"Niat saya sekarang mahu membawa nama komposer dan juga penulis lirik. Saya bukan bawa diri saya. Saya cuma mewakili mereka," katanya kepada mStar.

Ziana memaklumkan perkara itu ketika ditemui di sidang media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lagu Khai Bahar mara Separuh Akhir Muzik-Muzik 38, ini senarai penuh 30 karya bertanding

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat berang Nadeera ganti nyanyi ‘Astana’ di SFMM38, Rocketfuel kata ia keputusan Ernie Zakri

Mengimbau memori di Anugerah Juara Lagu (AJL), Ziana memaklumkan kali terakhir dia beraksi di pentas tersebut adalah melalui lagu Dingin pada 2008.

"Lagu terakhir saya di AJL adalah Dingin. Ketika itu saya sedang mengandung dan umur 40 tahun," ujarnya.

Untuk info, sebanyak 30 lagu akan bertanding pada SFMM38 yang berlangsung pada 15, 16, 17 Disember ini di TV3.

Ziana 2

Ziana bersama komposer dan penulis lirik.

Program tersebut akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Fiza Frizzy.

Setiap episod SFMM38 akan dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan termasuk Noraniza Idris (episod pertama), Akim & The Majistret (episod kedua) dan Search (episod ketiga).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain