SELEPAS 22 tahun tidak beraksi di atas pentas berskala besar, penyanyi Ziana Zain mengumumkan bakal mengadakan konsert solo di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 25 Mei tahun depan. Ziana atau Siti Roziana Zain, 55, berkata konsert ini merupakan buah tangan buat peminat yang sudah lama menanti persembahannya di atas pentas besar. "Saya gembira, gementar, sedih dan bersyukur kerana penantian yang saya tunggu lama (untuk mengadakan konsert) ini Alhamdulillah termakbul juga walaupun sudah 20 tahun lebih (tidak mempunyai konsert solo). Ziana semasa sidang media Ziana Zain Konsert 2024. "Saya bersyukur kerana ramai (banyak) permintaan bukan sahaja daripada peminat, tetapi juga rakan-rakan media yang sering bertanya bila saya akan adakan konsert," katanya kepada mStar. Ziana berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Ziana Zain Konsert 2024 pada Rabu. Dalam pada itu, Ziana menjelaskan lokasi Megastar Arena dipilih kerana dewan berkenaan mempunyai kapasiti besar dan tersedia untuk digunakan pada tarikh berkenaan. Tambahnya lagi, lokasi bukanlah menjadi masalah besar kerana paling penting dia dapat memberikan persembahan terbaik pada malam itu. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 15 tahun akhirnya Ziana Zain kembali bersaing di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38... “Ikutkan saya sudah malas” ARTIKEL BERKAITAN: Ramai ucap tahniah terima gelaran Datuk, Ziana Zain tergelak baca berita tular... “Saya tak pernah terfikir pun” “Lokasi berkenaan dipilih kerana tempat lain sudah penuh ditempah. Kami cuba dapatkan Axiata Arena tetapi tiada tarikh kosong. Stadium Melawati pula akan diubah suai pada Mac. “Pada saya lokasi konsert itu bukanlah masalah besar. Yang penting persembahan saya nanti menjadi momen terbaik untuk peminat,” ujarnya. Ditanya mengapa memilih tahun 2024, Ziana berkata dia mahu memberikan fokus penuh kepada aktiviti seninya pada tahun itu, selain memberi laluan kepada penyanyi lain mengadakan konsert. Saya gembira, gementar, sedih dan bersyukur kerana penantian yang saya tunggu lama ini Alhamdulillah termakbul. ZIANA ZAIN PENYANYI "Tahun ini saya baru keluarkan single bertajuk Waktu, layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38). Saya nak habiskan satu persatu dulu. Saya rasa ia 2024 adalah tahun yang bagus untuk saya (lakukan konsert). "Tahun ini pun sudah ramai yang adakan konsert, jadi tidak mengapalah saya beri ruang untuk orang (peminat) bernafas, kumpul duit," ujarnya. Dalam pada itu, Ziana berkata hatinya terdetik untuk mengadakan konsert tersebut apabila terlibat sama dengan adiknya, Anuar Zain dalam sebuah konsert di Dewan Plenari, Kuala Lumpur sebelum ini. Ziana bersama tulang bekalang untuk konsertnya iaitu dari kiri Anuar Zain, Aubrey Suwito dan Jennifer Thompson (kanan). "Selepas menjayakan konsert itu tahun lalu terus rasa seronok tapi tamat saja konsert itu saya buntu tak tahu nak buat apa. Alhamdulillah saya dapat tawaran dari Anuar Zain Network, saya fikir mengapa tidak saya cuba. "Selepas itu satu tawaran besar datang tapi saya terpaksa tolak sebab saya sudah berjanji dengan Anuar. Saya pegang saya punya janji dan syukur ada team yang bagus untuk konsert ini," katanya. Ziana bersama adiknya, Anuar Zain selaku penganjur bersama konsert tersebut. Untuk info, Ziana Zain Konsert 2024 ditaja oleh CSA Academy, anjuran bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd denganbkerjasama Altus Prohouse. Konsert tersebut akan menyaksikan gabungan hasil kreatif muzik dan pentas dari Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik serta 16 orang pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson berperanan sebagai pengarah konsert. Tiket bermula pada harga Gold RM288, Platinum RM488, Diamond RM688, VIP 2 RM888 dan VIP 1 RM1088 dan bakal dijual bermula Jumaat pukul 10 pagi di www.ticket2U.com. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!