BERITA pemergian penyanyi Ibnor Riza pada Ahad menyentuh hati banyak pihak terutama rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya. Tidak terkecuali, pengacara Datuk Aznil Nawawi yang sebelum ini pernah melancarkan kutipan bagi membantu Allahyarham merawat kanser limfoma. Menurut Aznil mesra disapa Pak Nil, dia berasa alat dan memohon maaf apabila tidak dapat mengumpul dan menyumbangkan dana yang lebih banyak kepada Ibnor. "Abang, Allah tamatkan kesakitan abang. Sekarang abang rehatlah ya. Momen-momen terakhir Pak Nil bersama Ibnor. "Maafkan saya hanya mampu berusaha membantu setakat itu dulu. Saya terkilan tidak dapat usaha lebih untuk kumpul dana untuk abang. “Abang, maafkan saya. Al-Fatihah," katanya. Aznil meluahkan isi hatinya itu dalam satu hantaran video di Instagram miliknya pada Ahad. Melalui hantaran tersebut, Aznil mengimbas kembali momen-momen terakhir ketika dia bersama Allahyarham. ARTIKEL BERKAITAN: Dua minggu tak sedarkan diri, Ibnor Riza meninggal dunia ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza semakin kritikal, belum sedar seminggu selepas pembedahan Aznil pernah menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Ibnor selepas melancarkan kutipan bagi membantu arwah menampung kos rawatan kanser dihadapinya. Cetusan idea tersebut selepas Aznil bertemu penyanyi berkenaan di majlis sambutan ulang tahun mStar ke-18 dan pelancaran program mStar Baek pada 26 September lalu. Ibnor juga merupakan salah seorang selebriti terlibat dalam program mStar Baek dan rakaman episod mengenai kesakitan ditanggungnya telah ditayangkan pada Oktober lalu. Ibnor disahkan menghembus nafas terakhirnya pada pukul 3.30 petang Ahad selepas dua minggu dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pada bahagian kepalanya. Ibnor meninggal dunia pada Ahad. Penyanyi era 80-an itu meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM). Pada 19 Februari lalu, Ibnor tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk. Dia mendapat tahu tentang kanser itu selepas melakukan pemeriksaan doktor susulan mengalami bengkak pada lehernya. Untuk rekod, Ibnor mulakan kejaya seninya sejak 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM. Ibnor merupakan artis yang popular era 80-an. Allahyarham juga merupakan seorang kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan kerjaya seninya pada 1993. Antara lagu yang terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Suka Terluka Merindu Pula dan banyak lagi. Allahyarham meninggalkan dua orang balu iaitu Norhayati Mohd Nor dan Sarimah Suleiman. Ibnor turut dikurniakan dua cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!