WARTAWAN hiburan Fiza Kamaruddin dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Charing Cross, London. Suami kepada Fiza iaitu Mohd Roshdi memberitahu isterinya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London pada Selasa untuk menanti penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Fiza atau Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU berada di London selepas terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga. Fiza bersama suami dan anak-anaknya kini masih berada di London. Dia bersama Roshdi dan dua anak mereka berlepas ke negara berkenaan pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember lepas. Meskipun keadaan kesihatannya kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaannya sendiri. Sehubungan itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) melancarkan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan Fiza yang masih menerima rawatan di London. ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan larikan diri gagal, wanita peras ugut Lee Sun Kyun ditahan polis ARTIKEL BERKAITAN: Tiada jalan penyelesaian, Fizi Ali bawa isu anak ke mahkamah... “Saya harap dia datang selesaikan perkara ini” Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, inisiatif melancarkan tabung khas itu selepas mendapat persetujuan daripada Roshdi. "WHAM mengambil kesempatan ini dengan mengalu-alukan semua pihak bagi membantu sahabat kita ini yang sedang memerlukan. Biarpun sedikit tetapi ia sungguh bermakna dan dihargai. "Kami juga mengalu-alukan sumbangan rakan artis dan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan Fiza sepanjang kerjaya mereka. Bantuan boleh dihulurkan bagi membantu Fiza. "Memandangkan kita belum tahu berapa lama lagi Fiza perlu mendapatkan rawatan di sana dan bilakah dia akan dibawa pulang ke Malaysia, sudah pasti keluarganya memerlukan bantuan dan sokongan kewangan. "WHAM merakamkan jutaan terima kasih dan semoga urusan Fiza dipermudahkan di sana. Semoga doa kita untuk kesembuhan sahabat kita itu dimakbulkan," katanya. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 162106764910 atas nama Mohammad Sudirman (Penolong Setiausaha WHAM). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!