suria

Khai Bahar syukur sempat beri kebahagiaan buat ibu, tak pernah minta benda mahal tapi suka beg tangan RM10

Kenangan Khai bersama ibu terpahat dalam jiwa.

PENYANYI Khai Bahar bersyukur kerana sempat berbakti dan memberikan kebahagiaan buat ibu tersayang iaitu Allahyarham Rosnah Mohamad ketika hayatnya.

Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 30 berkata, rezeki yang diperoleh menerusi karier nyanyian dapat digunakan untuk membahagiakan arwah yang cukup gemar dengan barangan seperti gelang, beg tangan dan juga bunga.

"Mak suka sangat bunga, beg dan gelang. Dulu masa susah mak teringin macam-macam tapi duit tak ada.

"Sekarang ada rezeki lebih Alhamdulillah sempat bahagiakan mak walaupun sekejap. Itu pun dia tidak pernah minta benda-benda mahal," katanya.

Khai mendedahkan ibunya seorang yang bersederhana.

Khai mendedahkan ibunya seorang yang bersederhana.

Khai berkongsi tentang ibunya menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Khai memberitahu arwah ibunya seorang yang sederhana selain tidak pandai menggayakan barangan mewah walaupun pernah membeli untuknya.

Sebaliknya kata Khai, Rosnah lebih gemar memakai barangan murah selain tidak pernah meminta-minta dibelikan barangan berjenama.

"Pernah beli gelang emas, beg mahal, dia tak pandai pakai. Dia suka beg RM10 sebab banyak warna dan corak. Gelang pun dia suka yang RM15.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Khai Bahar meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: "Otak saya kosong" - Pemergian ibu tamparan hebat buat Khai Bahar, jenazah kebumi sebelum Zohor

"Pernah borong banyak-banyak bagi mak, happy sangat dia dapat. Sayang mak dunia akhirat," ujarnya.

Sementara itu, bercerita detik pemergian Rosnah pada malam Selasa lalu, Khai memberitahu dia sekeluarga baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-62 arwah minggu lalu.

Khai memberitahu dia tidak menyangka ibunya pergi meninggalkan mereka malah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.

"Mak sempat minta air dekat kakak untuk kali terakhir. Lepas kakak bagi air, mak suruh letak atas meja nanti dia minum.

Khai terasa kosong sejak pemergian ibunya.

Khai terasa kosong sejak pemergian ibunya.

"Kakak naik ke atas tengok anak-anak, tak sampai 15 minit kakak turun semula dan nampak mak seolah-olah sedang tidur.

"Kakak cuba kejutkan mak bangun untuk minum tapi mak tak bergerak. Berkali-kali kejut masih tak bangun. Adik cuba pegang nadi mak, nadi mak sudah tak berdenyut," jelasnya.

Sebaik sahaja menerima perkhabaran bahawa ibunya sudah meninggal dunia, Khai yang ketika itu berada di Pulau Langkawi, Kedah merasakan hidupnya kosong seperti sedang bermimpi.

Pun begitu, penyanyi tersebut bersyukur kerana segala urusan perjalanan pulang ke kampung berjalan lancar untuk memberikan penghormatan kepada ibunya buat kali terakhir.

"Bila dapat tahu saja mak dah tak ada, terus rasa dunia gelap gelita seolah-olah macam sedang bermimpi.

Khai

Khai bersyukur dapat berbakti kepada ibunya.

"Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan pulang ke Perlis dari Langkawi. Dalam perjalanan naik bot, cuaca cantik sangat, bulan bintang terang, langit cerah... Hati rasa sayu seolah-olah mak sedang tunggu saya di rumah," katanya.

Rosnah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10.40 malam dalam tidur di kediaman mereka di Kangar, Perlis.

Rosnah meninggal dunia disebabkan komplikasi pelbagai penyakit termasuk sakit buah pinggang yang dihidapinya sejak tahun lalu.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar pada Rabu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain