suria

Berdepan masalah anxiety sejak kecil, Haziq Rosebi lebih selesa pakai cermin mata hitam atas pentas

Haziq mengalami masalah anxiety sejak kecil lagi.

MASALAH kegelisahan dan kebimbangan melampau atau anxiety membuatkan penyanyi Haziq Rosebi berdepan kesukaran untuk melakukan persembahan pentas.

Bagi mengatasi masalah itu, Haziq, 36, berkata dia lebih selesa mengenakan kaca mata hitam, dalam masa sama mengelakkan orang ramai melihat reaksi gementar pada wajahnya.

"Masalah terbesar saya masih ada anxiety sampai sekarang. Kalau orang lihat pada luaran mungkin saya okay saja.

"Disebabkan itu ada yang tanya kenapa saya pakai kaca mata hitam. Inilah masalahnya, saya ada masalah anxiety.

haziq2 - 1

Haziq berkaca mata hitam demi menyembunyikan perasaan gementar.

"Comfort zone saya memang apabila saya pakai kaca mata hitam, saya jadi lebih selesa dan tenang," katanya kepada mStar.

Haziq berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal yang diadakan di Hotel Traders, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, Haziq memberitahu simptom kegelisahan yang dihadapi itu berpunca trauma pernah menjadi mangsa buli ketika dibangku sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Tidak Terima Haziq Rosebi Bawa Lagu Baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Haziq: 'Siapalah saya dibandingkan dengan Datuk Siti'

Kata Haziq, biarpun tidak dibuli secara fizikal, trauma yang dialami menyebabkan dia mempunyai masalah social anxiety di mana dirinya menjadi gementar setiap kali berdepan dengan orang ramai.

"Sebenarnya anxiety sejak kecil lagi kerana pernah dibuli di sekolah. Tapi itulah trauma tersebut membawa hingga saya dewasa.

"Saya tidaklah dibuli teruk. Mungkin mereka hanya suka-suka nak membuli saya. Mungkin disebabkan saya anak bongsu, manja sikit jadi perbuatan dibuli itu memberi kesan kepada saya," ujarnya.

Masalah terbesar saya masih ada anxiety sampai sekarang. Kalau orang lihat pada luaran mungkin saya okay saja.

HAZIQ ROSEBI

PENYANYI

Bercerita lanjut tentang masalah kesihatan yang dihadapinya itu, Haziq memberitahu dia sudah mendapatkan rawatan pakar di hospital namun tidak mahu terus bergantung kepada ubat-ubatan yang diberikan doktor.

Penyanyi lagu Zapin Suri ini memberitahu dia lebih kini belajar untuk mengawal sendiri kegelisahan tersebut.

"Saya kena happy, saya kena kafein tetapi hanya diwaktu pagi. Kalau saya ambil kafein pada waktu petang, saya akan rasa gelisah sampai ke malam.

"Saya pernah berjumpa doktor pada sekitar 2016 dan ada mengambil ubat. Tetapi sekarang saya tidak lagi mahu bergantung dengan ubat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Haziq bakal muncul menerusi sebuah konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 2 Mac ini.

haziq1 - 1

Haziq bersama Yusni dan Asmidar untuk konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal.

Kata Haziq, dia akan menggunakan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk menarik lebih ramai peminat dalam kalangan golongan muda untuk bersama-sama hadir memeriahkan konsert keroncong tersebut.

"Saya sendiri akan menggunakan platform seperti TikTok contohnya membuat sesi siaran langsung untuk mengajak peminat datang beramai-ramai ke konsert itu nanti.

"Kalau boleh saya harap peminat golongan muda dapat memberikan sokongan supaya genre keroncong dan ghazal ini terus mekar seperti apa yang kami perjuangkan," katanya.

Selain Haziq, Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal turut menampilkan penyanyi legenda Datuk Yusni Hamid dan Asmidar untuk turut sama menghiburkan peminat pada malam konsert.

Tiket sudah pun mula dijual bermula dengan harga RM218 sehingga RM498.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain