suria

Anak Min Yasmin selamat jalani pembedahan akibat angin pasang, tak dapat ikut petua tuam kemaluan bayi selepas lahir

Anak Min dan Julfekar selamat menjalani pembedahan.

ANAK kepada penyanyi Min Yasmin iaitu Muhammad Zulfiras berusia empat bulan selamat menjalani pembedahan akibat masalah angin pasang atau hernia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas, Sabah pada Rabu.

Min atau Nurul Yasmin Abdul Aziz, 34, berkata masalah angin pasang itu dipercayai terjadi kerana dia tidak mengikut saranan dan petua orang lama mengenai penjagaan khas untuk bayi lelaki.

Disebabkan bayi itu dilahirkan pramatang, Min memberitahu dia tidak dapat melakukan petua tradisional berkenaan ditambah pula keadaan fizikal anaknya itu terlalu kecil.

"Anak lelaki ni sensitif berbanding anak perempuan. Orang tua-tua pun ada cakap sepatutnya lepas bersalin kita kena tuam kemaluannya.

Keadaan Firas sewaktu menerima rawatan di hospital.

Keadaan Firas sewaktu menerima rawatan di hospital.

"Tapi disebabkan anak saya pramatang, dua bulan duduk di dalam incubator. Apabila dibenarkan keluar daripada incubator dan balik rumah selepas dua hari, dia kena hernia atau orang Melayu kita panggil angin pasang," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Min, dia mula menyedari terdapat benjolan di bahagian bawah perut Zulfiras dan terus membawanya ke hospital bagi menjalani rawatan.

Namun keadaan bayi yang masih kecil menyebabkan doktor menangguhkan rawatan sehinggalah anaknya itu mencapai berat badan sesuai.

ARTIKEL BERKAITAN: "Awal hamil tak tahu, bersalin pun mengejut" - Min Yasmin selamat lahir bayi pramatang seberat 800 gram

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu selepas bersalin, Min Yasmin jalani pembedahan buang darah beku - "Asbab menghapus dosa"

"Hernia ni ada dua jenis, satu di pusat dan satu di kemaluan. Macam anak saya terkena pada kemaluan. Pada mulanya hanya benjolan pada bawah perut.

"Saya terus membawanya ke hospital dan pada waktu itu doktor masih tidak boleh melakukan sebarang rawatan kerana dia masih terlalu kecil.

"Jadi rawatan itu ditangguhkan sampailah target umur dan berat badannya sekurangnya cecah 3.5 kilogram," ujarnya.

Orang tua-tua pun ada cakap sepatutnya lepas bersalin kita kena tuam kemaluannya.

MIN YASMIN

PENYANYI

Sementara itu, isteri kepada penyanyi Julfekar ini turut meluahkan rasa syukur kerana segala urusan pembedahan anaknya itu berjalan dengan lancar.

Meskipun perlu melalui penjagaan rapi, namun Min memberitahu keadaan anaknya kini stabil dan sedang melalui proses penyembuhan.

"Pada Selasa lalu anak saya dimasukkan ke wad untuk melihat tahap kesihatannya dan Alhamdulillah anak saya sihat untuk melakukan pembedahan.

"Pembedahan dilakukan pada Rabu dan syukur semuanya dipermudahkan. Cuma penjagaan selepas pembedahan berlainan kerana Firas merupakan bayi pramatang.

"Syukur keadaan Firas pun sudah stabil dan kini dia sedang dalam proses untuk sembuh," katanya.

Min dan Julfekar mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu.

Min dan Julfekar mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu.

Pada 16 September tahun lalu, Min selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada pukul 7.49 malam.

Bayi yang dianggarkan berusia 30 minggu kehamilan itu dilahirkan dengan berat 800 gram secara pembedahan.

Kata Min, doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi menyambut bayi berkenaan disebabkan dirinya mengalami tekanan darah tinggi.

Untuk rekod, Min dan Julfekar mendirikan rumah tangga pada 4 April 2014 dan ini merupakan cahaya mata pertama mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain