PELAKON Fathia Latiff berasa rimas dengan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa dia sedang 'sakit' dan perlu mendapatkan bantuan. Fathia atau Nur Fathia Abdul Latiff, 36, sebaliknya meminta orang ramai agar tidak mudah meletakkan sebarang label kepada dia hanya berdasarkan pemerhatian kasar. Menurut Fathia, dia berhak untuk berkongsi apa sahaja di media sosial miliknya meskipun perkara itu kurang disenangi ramai. Fathia anggap tuduhan dirinya sakit adalah melampau. "Saya tak sakit! Kepada peminat, keluarga, sahabat, stalker dan homofobia... saya sudah penat orang anggap saya sakit. "Saya boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menuduh saya tetapi ada perkara lebih baik untuk dilakukan kerana ia tidak menjejaskan saya sama sekali. "Perkara paling penting adalah malu yang keluarga saya tanggung," katanya. Fathia berkongsi perkara itu menerusi Instastory miliknya pada pagi Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut netizen Fathia Latiff kongsi foto pipi dicium lelaki mat salih, siap tulis kapsyen ‘hati’ ARTIKEL BERKAITAN: “Just married” - Netizen ragu Fathia sudah kahwin, jejaka dalam foto tak kacak macam digambarkan Kata Fathia, dia berhak terhadap jalan hidup yang dipilihnya kerana percaya ia tidak menyusahkan sesiapa pun. Malah setiap perkara yang dilakukan juga tidak melibatkan orang lain melainkan dirinya sendiri. "Ini kehidupan saya dan pilihan yang saya mahukan. Tak kisahlah baik atau buruk, tiada kena mengena pun dengan kalian. "Tak kisah saya selebriti, pengemis atau jutawan sekali pun. Nampak gayanya pihak berkuasa negara saya berat sebelah dan lemah. Fathia minta netizen sibuk dengan keluarga sendiri. "Saya tak perlu menjelaskan, membuktikan atau memberitahu sesiapa apa dan tidak yang perlu saya kongsi di media sosial," ujarnya. Dalam pada itu, Fathia berharap netizen menguruskan keluarga sendiri berbanding menjaga tepi kainnya kerana ia tidak mendatangkan faedah. "Berhenti menyalahkan orang dan sentiasa melihat diri dan keluarga sendiri. Cukup-cukuplah! "Seperti selalu bapa saya katakan, orang Melayu ini suka dengki, fikir bukan-bukan dan rasa diri sentiasa betul. Membuatkan saya sedar bahawa itu sangat menyedihkan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!