suria

Cakra Khan terima kejutan semasa konsert, gadis OKU naik pentas belanja burger kahwin... Kagum bakat anak saudara Siti Nurhaliza

Cakra menerima banyak kejutan pada malam konsert.

PENYANYI Cakra Khan menerima kejutan apabila gadis kurang upaya (OKU) iaitu Jaheerah Nadzri naik ke atas pentas ketika dia membuat persembahan di konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur 2.0 yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Cakra atau Cakra Konta Paryaman, 32, berkata dia mengagumi semangat Jaheerah atau lebih mesra disapa Eerah, 30, yang masih gigih berniaga walaupun mempunyai kekurangan diri.

Cerita Cakra, sejak tahun lalu dia sudah menonton video viral yang memaparkan kegigihan Eerah menjual burger membuatkan dia bersyukur dengan segala kesempurnaan yang dimiliki.

cakra3 - 1

Cakra kagum melihat kegigihan Eerah mencari rezeki.

"Hal yang saya belajar daripada Eerah, dia sentiasa tabah (mempunyai harapan), bahawa kita dapat lakukan yang terbaik dalam hidup.

"Jujur kehadiranya benar-benar mengejutkan kerana seharusnya sebelum persembahan, saya rancang untuk berjumpa dengannya, tetapi mereka suruh saya buat latihan. Rupanya ada kejutan," katanya kepada mStar.

Cakra berkongsi perkara itu semasa sidang media sejurus tamat konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur 2.0 pada malam Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rossa punca Cakra Khan terkenal di Malaysia, menitis air mata atas pentas kenang arwah bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Cakra Khan lebih utamakan keluarga selepas pemergian ayah tercinta... "Kalau dulu saya pentingkan kerja tak hirau panggilan ibu"

Menerusi kejutan yang diterima, Eerah sempat naik ke atas pentas ketika Cakra membuat persembahan dengan membawa sebiji burger 'kahwin' yang disediakan sendiri olehnya.

Kata Cakra, kejutan tersebut adalah yang pertama kali dilakukan memandangkan sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian dalam mana-mana konsert termasuk di Indonesia.

Selain Eerah, Cakra juga menerima satu lagi kejutan apabila bergandingan bersama anak saudara penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Umai menerusi lagu Seluruh Cinta.

cakra4 - 1

Gandingan Cakra dan Judika berjaya memukau penonton.

Kata Cakra, pada awalnya dia hanya membuat latihan nyanyian solo untuk lagu tersebut dan tidak menyangka berpeluang berduet dengan penyanyi berusia 13 tahun itu.

"Ini juga kejutan buat saya kerana pada awalnya saya sudah bersedia untuk menyanyikan lagu itu seorang diri. Kami tidak membuat sebarang latihan tetapi saya akui suara dia (Umai) sangat luar biasa.

"Sejujurnya memang saya sangat terkejut kerana ini semua bukanlah satu perkara yang dirancang," ujarnya.

Konsert Cakra Khan A Decade Live In Kuala Lumpur 2.0 ini turut diserikan dengan persembahan hebat daripada penyanyi jemputan iaitu Judika, Rossa dan Dayang Nurfaizah.

Cakra menghiburkan hampir 3,000 peminat di Kuala Lumpur.

Cakra menghiburkan hampir 3,000 peminat di Kuala Lumpur.

Cakra turut menyanyikan lagu duet bersama penyanyi jemputan termasuk Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Terlanjur Cinta (Rossa) dan Bukan Dia Tapi Aku (Judika).

Konsert anjuran Seven Skies Motion Sdn Bhd turut menyaksikan persembahan muzik diiringi orkestra yang diketuai maestro tersohor, Datuk Ramli MS.

Sebanyak 23 lagu dipersembahkan termasuk Mencari Cinta Sejati, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Harus Terpisah,Setelah Kau Tiada, Lupakan Cintra Kekasih Bayangan, dan sebuah lagu baharu iaitu Broken Symphony.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan You

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain