suria

Cedera buat babak aksi sendiri, Azwan Kombos kecewa ‘stuntman’ lepas tangan tak mahu bertanggungjawab

Azwan kecewa sikap sambil lewa kru produksi.

PELAKON Azwan Kombos meluahkan rasa kecewa terhadap kru aksi lagak ngeri sebuah produksi filem yang dianggap tidak bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami ketika di lokasi penggambaran.

Kata Azwan atau Mohamad Al-Azwan Kombos, 39, dia juga tidak diberi latihan awal sebelum melakukan aksi jatuh ke dalam air terjun itu.

Malah ketika kejadian yang berlaku pada awal pagi Jumaat di sebuah kawasan air terjun di Bentong, Pahang itu, kru berkenaan turut meletakkan kesilapan tersebut ke atas dirinya kerana tidak melakukan aksi berkenaan dengan betul.

azwan kombos 2

Azwan tidak diberi latihan awal sebelum buat babak aksi.

"Saya kecewa apabila pasukan stuntman tidak ada rasa tanggungjawab selepas kejadian itu. Malah ketika sudah terjatuh, mereka tidak memohon maaf sebaliknya salahkan saya sendiri.

"Dalam kejadian itu saya tersangkut pada tali yang mengikat badan. Apabila mereka nak turunkan saya, kepala hampir terjatuh dahulu. Mujur ia tidak berlaku.

"Saya tidak diberi latihan awal dan apabila melihat mereka lakukan seolah-oleh nampak mudah dan tidak ada sebarang masalah besar," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pergelangan tangan retak semasa lakon babak aksi, Azira Shafinaz tetap teruskan penggambaran

ARTIKEL BERKAITAN: Azwan Kombos, Ezzaty Abdullah bakal timang anak kedua bulan depan... Empat bulan merana kerana alahan

Azwan sebelum itu berkongsi gambar kecederaan di bahagian paha akibat kakinya terbelit ketika melakukan aksi berkenaan.

Dia turut mengalami sakit pada bahagian belakang badan selepas kejadian.

Tambah Azwan, dia pada awalnya sudah bertanya lanjut dengan pihak produksi keperluan untuk melakukan aksi itu sendiri dan bersetuju melakukannya kerana memikirkan mereka kesuntukan masa.

azwan kombos 3

Azwan akan berbincang lebih teliti dengan produksi melibatkan babak aksi.

"Sebelum buat saya dah tanya macam-macam. Selalunya saya tidak akan buat stunt yang sebegitu dan lebih fokus kepada lakonan sahaja.

"Namun memikirkan kami semua mengejar masa dan tempat itu juga tidak terlalu tinggi, jadi sata setuju untuk buat," ujarnya.

Pelakon ini juga memberitahu dia masih belum sempat berbincang lanjut dengan pihak produksi selepas kejadian berkenaan.

"Saya akan teruskan berlakon filem itu. Namun jika ada sebarang aksi lagak ngeri lagi perlu ada perbincangan lanjut," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain