SIAPA sangka perniagaan Absolut Chocolat yang dibangunkan oleh pasangan selebriti Ben Ali dan Nadiyah Shahab bermula secara tidak sengaja berjaya menjadi salah satu jenama popular di Malaysia. Di sebalik kejayaan itu, Ben memberitahu dia sendiri tidak menyangka perniagaan yang diusahakan sejak 2018 itu berjaya memikat hati pelanggan. Imbau Ben atau Nur Ali Nadzwan, 31, pada awalnya dia terlibat dalam perniagaan tersebut kerana ingin mencari wang tambahan bagi digunakan untuk majlis perkahwinan dengan Nadiyah. Malah cerita Ben, modalnya ketika itu juga tidak besar dan hanya berbekalkan RM50 dan semangat ingin menghalalkan hubungannya dengan Nadiyah. Ben memulakan perniagaan dengan berbekalkan modal RM50. Hari ini, pasangan itu bukan sahaja berjaya dalam perniagaan makanan malah sudah melebarkan sayap dengan tiga jenama lain iaitu Absolut Food Festival Absolut Bazaar Raya dan Absolut Music Fest. Ikuti temu bual bersama Ben tentang perniagaan diusahakan serta cabaran terpaksa dihadapi sebelum berjaya. 1. Apa yang menggerakkan Ben untuk memulakan perniagaan memandangkan ketika itu sudah mempunyai karier stabil sebagai pelakon? Saya memulakan perniagaan dengan Absolut Chocolate pada 18 Februari 2018 dan semuanya bermula kerana kami mahu mencari duit kahwin. Sebelum itu lagi sebenarnya saya sudah terlibat dalam beberapa jenis perniagaan tetapi kurang berhasil. Nadiyah mencadangkan kami berniaga kek coklat walaupun pada awalnya saya kurang setuju tetapi saya percaya dengan ideanya. Percaya atau tidak, kami bermula dengan modal RM50 sahaja! Alhamdulillah teknik pemasaran kami berjaya apabila video promosi di laman sosial mendapat tontonan tinggi. Keuntungan yang kami dapat digunakan untuk menampung majlis perkahwinan. 2. Dalam kejayaan diraih, Absolut Chocolat pernah dihentikan selama setahun. Boleh Ben kongsi apa sebenarnya yang berlaku? Operasi Absolut Chocolat dihentikan selama setahun sebab kami mahu menyelesaikan beberapa perkara termasuk isu pengedar kek. Kalau dulu kami ada ejen dan tiga buah kioks di pusat beli belah tetapi sekarang sudah tiada sistem tersebut. Malah selepas membuat pelbagai pertimbangan kami juga menutup semua kedai fizikal di Mid Valley, IOI City Mall dan Sunway Pyramid. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu gaduh, akhirnya mahu kahwin - Ben Ali ARTIKEL BERKAITAN: Nadiyah Shahab kelakar baca komen netizen sibuk tanya bila nak dapat anak Walaupun sambutan diterima cukup baik tetapi banyak perkara perlu diuruskan seperti kos operasi dan kaki tangan yang tinggi. Sebab itu kami mengambil keputusan fokus kepada jualan secara dalam talian sahaja. Insya-Allah bermula bulan ini (Februari) kami akan jalan semula bisnes dan buat lebih banyak promosi di TikTok. 3. Cabaran dan dugaan sepanjang menjalankan perniagaan? Turun naik dalam perniagaan adalah perkara normal. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020, Alhamdulillah jualan sangat baik. Ia mungkin disebabkan ramai duduk di rumah dan suka buat tempahan secara dalam talian. Jualan pada tahun berikutnya juga menunjukkan peningkatan. Absolut Food Festival merupakan salah satu acara terbesar yang dianjurkan. Bagaimanapun kami buat kesilapan apabila membuka kilang yang terlalu besar dan melabur membeli mesin dan oven tetapi corak pembelian pelanggan selepas Covid-19 berubah kerana ramai lebih suka berjimat cermat. Pelaburan yang kami buat juga mencecah jutaan ringgit tapi gagal mendapat kembali keuntungan. Fasa tersebut sangat mencabar sampai rasa nak putus asa. Tapi Alhamdulillah disebabkan kami ada beberapa bisnes lain, saya dan Nadiyah berjaya mengekalkan perniagaan Absolut Chocolat. 4. Transisi daripada perniagaan kek kepada bidang pengurusan acara. Boleh Ben kongsikan? Pada 2019 kami terfikir menganjurkan sebuah festival jualan makanan dengan tujuan membantu peniaga makanan selain mendekatkan usahawan SME dengan selebriti. Pertama kali menganjurkan festival ini, kami hanya memberi sewa sebanyak RM800 untuk satu slot walaupun harga pasaran sebenar bernilai RM1,800. Selebihnya kami memberikan subsidi dengan mengeluarkan modal sendiri. Pasangan ini sudah mengharungi pelbagai dugaan dalam perniagaan. Apa saya boleh katakan penganjuran pertama langsung tidak mendapat sebarang keuntungan. Alhamdulillah duit hasil perniagaan Absolut Chocolat digunakan untuk menampung segala kos sehingga jutaan ringgit juga. Kami fikir tidak mengapa sebab untuk penjenamaan dan pengenalan biarlah kami melabur sedikit. Alhamdulillah sekarang fokus kami lebih kepada penganjuran acara. Kami sudah mempunyai tiga jenama besar iaitu Absolut Food Festival, Absolut Bazaar Raya dan Absolut Music Fest. Dua tahun lalu kami memang memberikan fokus untuk bisnes berkenaan. Senang cerita selepas pandemik Covid-19, hala tuju lebih ke arah pengurusan acara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan You TONTON VIDEO PILIHAN!