suria

Program masakan sudah jadi hiburan, tiada ilmu manfaat kepada penonton - Chef Zam

Chef Zam mahu terus kongsi ilmu dengan penonton.

CEF selebriti Profesor Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam kecewa apabila program masakan kini hanya sekadar menjadi program hiburan tanpa memberi informasi bermanfaat kepada penonton.

Chef Zam, 54, berkata, program masakan tidak sepatutnya sekadar berkongsi resipi tetapi perlu menyelitkan ilmu ketika berada di dapur.

"Saya pernah menonton sebuah program menggunakan papan pemotong sama untuk daging serta sayur-sayuran. Itu salah! Perkara itu boleh menyebabkan keracunan makanan.

"Program masakan sekarang saya lihat lebih kepada hiburan. Penonton terhibur tapi apa yang mereka dapat selepas rancangan tamat?," katanya kepada mStar.

cef zam 3

Chef Zam harap program masakan televisyen lebih memberi pendekatan perkongsian ilmu.

Chef Zam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi reviu RasaNya Steamboat bersempena sambutan Ramadan tahun ini.

Dalam pada itu, Chef Zam meluahkan rasa kurang senang apabila program TV memanggil selebriti atau influencer hanya kerana mereka kerap memuat naik kandungan berkaitan masakan di media sosial.

Kata Chef Zam, masih ramai cef berpengalaman dapat berkongsi ilmu memandangkan mereka lebih layak.

ARTIKEL BERKAITAN: Dianggap tak layak terima anugerah khas GMWA2023, Melly Goeslow rai perbezaan pendapat

ARTIKEL BERKAITAN: Daripada suka-suka bertukar minat, sukan berkuda erat hubungan Intan Najuwa dan suami

"Zaman sekarang mereka yang menang pertandingan masakan diangkat sebagai cef sedangkan orang seperti saya bertahun-tahun menuntut ilmu.

"Ini boleh merosakkan industri kulinari kerana mereka tidak mendalami ilmu penyediaan makanan dengan betul malah menjemput artis sebagai tetamu.

"Saya anggap masa setengah jam diberikan membazir kerana tidak memberi manfaat kepada penonton.

Ini boleh merosakkan industri kulinari kerana mereka tidak mendalami ilmu penyediaan makanan dengan betul

PROFESOR DATUK CHEF ZAM

CEF SELEBRITI

"Orang lama macam saya masih mahu terus berkongsi ilmu. Janganlah hanya jemput cef muda saja, bagilah peluang kepada orang lama tampil dalam program masakan," jelasnya.

Sementara itu, Chef Zam turut berkongsi pengalamannya dijemput sebagai juri dalam pertandingan International Youth Chef Olympiad (YCO) yang berlangsung di India pada awal Februari lalu.

Selain mengadili peserta, dia turut diberi penghormatan menyediakan masakan dalam satu acara makan malam untuk tetamu kehormat di negara tersebut.

cef zam 1

Chef Zam bangga kongsi makanan dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Secara spontan pihak penganjur bertanya adalah saya mahu untuk menjadi hos bagi acara makan makan. Ia satu penghormatan buat saya dan pastinya amat berbangga apabila diberi peluang sebegitu.

"Ada juga rasa takut sebab bahan masakan di sana tidak sama seperti di sini.

"Secara tidak langsung dapat mempromosikan budaya serta makanan Malaysia. Saya masak sate, kuah kacang, mi goreng dan beberapa juadah lain," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain