suria

Misi Azhan Rani tawan puncak Gunung Island Peak tak kesampaian, patah balik kerana cuaca buruk dan angin kencang

Azhan terpaksa batalkan hasrat tawan Island Peak atas faktor keselamatan.

MISI dan impian pelakon Azhan Rani untuk menawan puncak Gunung Island Peak atau Imja Tse yang terletak di Taman Negara Sagarmatha di Selatan Nepal nampaknya tidak kesampaian.

Hasrat aktor itu terhalang disebabkan angin kencang dan suhu berada di bawah negatif 25 darjah celsius.

Gara-gara kekangan itu, Azhan atau Azhan Abdul Rani, 48, bersama empat orang lagi pendaki lain terpaksa berpatah balik pada ketinggian 5,600 meter dari aras laut atas faktor keselamatan.

Pendakian Azhan dan empat pendaki lain terhalang kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Pendakian Azhan dan empat pendaki lain terhalang kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Meskipun rancangan untuk menawan puncak berketinggian 6,160 meter itu tidak berjalan seperti diharapkan, Azhan yang membawa misi mengibarkan bendera Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tetap meluahkan rasa syukur.

"Apa yang bermain difikiran saya sekarang adalah balik rumah dengan selamat selepas menempuh pengalaman yang menakutkan.

"Kami memulakan pendakian dalam keadaan fizikal yang baik dan semangat yang tinggi tetapi cuaca buruk menghalang misi kami," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Azhan Rani bakal tawan Island Peak di Nepal, mungkin terpaksa mendaki ketika bulan Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN : Kali keempat berjaya tawan Kinabalu, Azhan Rani diuji penyakit akut gunung

Sementara itu, Ketua Pendaki iaitu Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berkata, keputusan untuk berpatah balik itu terpaksa diambil selepas berbincang dengan sherpa atau malim gunung.

"Pendakian kami ke puncak terhalang setelah mencuba separuh jalan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Atas faktor keselamatan, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan tidak meneruskan pendakian.

"Sewaktu pendakian tiba di high camp pada ketinggian 5,600m, suhu telah mencecah negatif 25 dan tiupan angin terlalu kencang, sekali gus menyukarkan pendakian. Selepas berbincang dan mendengar nasihat sherpa, kami akur untuk berpatah balik,” jelasnya.

Kata Fakhrul lagi, dia juga ada berbincang untuk menambah sehari lagi tempoh pendakian tetapi sherpa tidak memberi jaminan keadaan cuaca akan kembali baik.

Selain Azhan dan Fakhrul, tiga lagi pendaki yang mengikuti misi itu ialah Azmi Mohd Ariffin, Khalid Abd Hanid dan pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman.

Azhan bersama empat orang pendaki lain terpaksa berpatah balik atas nasihat Sherpa.

Azhan bersama empat orang pendaki lain terpaksa berpatah balik atas nasihat Sherpa.

Untuk rekod, seramai 13 orang peserta menyertai cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal pada kali ini.

Pendakian Amal SAR Ahsana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024 dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan ini diadakan bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu sebuah rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autism.

Majlis pelepasan yang diadakan di Ruang Legar Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 Februari lalu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain