suria

Imej rockers tinggal kenangan... Keena Mentor tukar penampilan demi Saloma, sudah ada 56 helai kebaya

Penampilan Keena terima pujian peminat warga emas.

IMEJ rockers yang cukup sinonim dengan Keena Mentor kini hanya tinggal kenangan apabila penyanyi itu mengubah penampilannya dengan memakai kebaya.

Keena atau Suriana Abdul Wahab, 38, berkata, imej terbaharu itu juga bersesuaian dengan pelantikannya sebagai ikon Pasar Saloma.

"Sebenarnya saya menjadi ikon untuk Pasar Saloma, jadi saya kena tukar penampilan rockers kepada wanita yang lebih anggun.

"Bukan senang nak ubah kebiasaan tapi ini perkara baru untuk saya," katanya kepada mStar.

wan jibam 1

Keena dan Wan Jibam serikan Pasar Saloma.

Keena berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Iftar Ramadan Hari Seniman 2024 yang berlangsung di Hulu Kelang, Selangor pada petang Jumaat.

Dalam pada itu, Keena memberitahu pada awalnya dia hanya mempunyai dua pasang baju kebaya namun kini koleksinya bertambah kepada 56 helai.

Kata Keena, bagi memastikan imej itu mempunyai identiti sendiri, dia akan menjahit manik dan labuci pada kebaya yang dibeli agar dapat tambil berbeza.

"Semua baju itu saya buat sendiri! Saya jahit manik agar ia nampak lain dan ada identiti seorang Keena padanya," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru jadi 'rider' motosikal, Keena Mentor bongkar sikap pemandu wanita atas jalan

ARTIKEL BERKAITAN: Keena (Mentor) Nyanyi Di Luar Negara Akibat Dipinggirkan

Bukan itu sahaja, dia juga sanggup menghabiskan masa selama dua jam demi menyiapkan rambutnya agar bersesuaian dengan tema dibawa.

"Nak buat rambut ini dalam dua jam juga, rambut ini bukan terus sarung kena buat satu persatu. Alhamdulillah saya boleh tiru.

"Rambut ini ada yang palsu dan juga rambut sebenar saya," ujarnya.

Menurut Keena, meskipun penampilannya sudah berubah namun peminatnya masih mengenalinya walaupun ada memanggilnya dengan nama Saloma atau Cik Hasnah.

Bila saya pakai macam ini orang tua-tua jumpa saya mereka menangis.

KEENA MENTOR

PENYANYI

Jelasnya, rezekinya juga semakin murah sejak menukar penampilan selain kerap menerima pelbagai tawaran persembahan.

"Peminat masih kenal saya... tapi mereka sudah tak panggil saya Keena mereka panggil saya Cik Saloma atau Cik Hasnah.

"Alhamdulillah sejak saya tukar dapat pelbagai tawaran lakukan persembahan untuk menyanyikan lagu-lagu lama," kongsinya.

Dia yang mengikat kontrak selama setahun sebagai ikon Pasar Saloma juga memberitahu masih lagi setia dengan hobinya menunggang motosikal besar.

Snapinsta.app_423859495_1111398576717692_1107972377288372684_n_1080

Penampilan yang baharu bawa tuah pada Keena.

Namun dia seronok mengenakan penampilan sebegitu kerana sering mendapat pujian daripada peminat terutamanya dalam kalangan warga emas.

"Motosikal besar tetap saya bawa... saya ini dari kasar cuba jadi lembut biasalah saya ramai adik beradik lelaki.

"Bila saya pakai macam ini orang tua-tua jumpa saya mereka menangis... cakap inilah baju yang mereka pakai dulu semasa muda.

"Susah nak tengok artis baru pakai baju seperti ini. Saya suka dengan kata-kata mereka jadi saya terus bawa imej ini," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain