PERMULAAN penyanyi rap Neo memulakan langkah dalam bidang seni mungkin agak unik apabila bakatnya dikesan ketika menyanyi dalam video live di Facebook ketika menjual pakaian bundle. Neo atau Mohamad Sharul Neo Morsidi, 14, berkata, menyanyi sambil menjual barangan bundle adalah salah satu cara dia menarik perhatian ketika berinteraksi dengan penonton. Bagaimanapun kata Neo, tidak mudah untuk dia sampai ke tahapnya sekarang apabila ada yang merasakan dia tidak berbakat sehingga ada menyangka dia seorang remaja autisme. Pun begitu, hati penyanyi rap yang popular dengan panggilan Neo Mat Kacau ini tetap kental malah sudah mempersiapkan diri untuk menempuh ada sahaja cabaran sebagai anak seni. Neo tak sangka impian mahu jadi penyanyi rap kini tercapai. "Saya masa jual barang bundle terlalu menjiwai watak budak nakal sebab nak hiburkan penonton dan saya menyanyi lagu-lagu rap ketika live di Facebook. "Bukan dapat pujian tapi ada orang kata suara saya tak sedap, tiada bakat jadi penyanyi rap malah ada sangka saya remaja autisme. "Mak saya selalu bagi kata-kata semangat malah sebelum saya tular lagi sudah tanamkan dalam hati, saya tidak akan peduli cacian atau makian yang boleh membantutkan tumpuan saya sebagai penyanyi rap," katanya kepada mStar. Neo kini bergelar artis L.Y Music Factory dan tampil dengan single genre rap berjudul Oh Ibu ciptaan Cinderella. ARTIKEL BERKAITAN: Kerinduan peminat akhirnya terubat, MK dan Tuju kolaborasi dalam ‘Risiko' ARTIKEL BERKAITAN: Lama peminat tunggu, sekali Malique hantar anak buat kemunculan pertama dalam MV ‘Sedih Hati’... “Ikut bakat ayah dia” Dalam pada itu, Neo memberitahu dia mula meminati genre rap dan hip hop sejak berusia lapan tahun malah abangnya juga berkongsi minat sama. Penyanyi rap asal Putatan, Sabah ini memberitahu bakatnya mula menjadi perhatian apabila videonya tular di laman sosial. "Saya ada minat salah satu kumpulan rap ini dan sering menyanyikan lagu mereka ketika buat video live di Facebook. "Kebetulan suatu hari ibu rakam aksi saya sedang rap dan video berkenaan viral di media sosial," ceritanya. ada kata saya ni autism suara tak sedap dan saya tak boleh jadi rapper. NEO PENYANYI RAP Ditanya mengenai idolanya, Neo memasang impian untuk berkolaborasi dengan MK dan Malique. "Idola saya ada dua orang, pertama MK dari kumpulan K-Clique dan kedua ialah Malique. Jika ada peluang saya mahu berkolaborasi menerusi lagu yang kami tulis sendiri nanti," ujarnya. Namun impian paling utama, Neo mahu membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah suatu hari nanti. "Tapi itu semua nombor dua sebab impian terbesar saya adalah mahu bawa ibu bapa tunaikan umrah. Neo pasang impian mahu membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah. "Satu hari nanti bila ada ramai peminat dan ada pendapatan lebih saya mahu kumpul dan bawa mereka ke sana insya-Allah. Sementara itu, Neo bekata, walaupun bergelar artis di usia muda namun dia tidak akan sesekali melupakan pelajaran. Masih bersekolah seperti biasa, Neo turut memasang impian melanjutkan pelajaran ke menara gading suatu hari nanti. "Walaupun saya sudah bergelar seorang penyanyi rap, saya masih fikir untuk belajar, kalau boleh mahu belajar sampai masuk universiti. "Dalam kehidupan ini kena ada ilmu. Jadi saya tak akan sampai ke tahap ini kalau tak belajar," katanya. Berikut adalah 5 fakta menarik tentang Neo yang mungkin tidak diketahui peminat. 1. Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas, Penampang, Sabah. 2. Aktif dalam sukan bola sepak dan muay Thai. 3. Pernah menjadi 'jockey' bundle semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 sehingga 2022. 4. Suka makan sayur kubis dan sosej bersama nasi putih. 5. Boleh berturut dalam bahasa Mandarin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!