MAHU berkongsi rezeki dengan orang lain, usahawan baju Melayu Azzim Zahid Azmi memasang hasrat membawa 10 individu menunaikan ibadah umrah tahun ini. Kata Azzim atau lebih mesra disapa Meri, 27, dia tertarik untuk memberikan pakej umrah kepada pelanggan bertuah kerana baginya itu lebih bermakna berbanding hadiah mewah lain. "Pada mulanya kami hanya menyediakan lima pemenang untuk pakej umrah di mana setiap pakej boleh membawa pasangan. Azzim ketika di sidang media program Sinar Ramadan Bulan Bintang. "Namun sambutan sangat menggalakkan dan perasaan dapat beri mereka tunaikan umrah itu sesuatu yang sangat berharga, tidak sama seperti menang kereta. "Disebabkan itu kami tawarkan 10 pakej umrah di mana 20 orang akan berpeluang untuk tunaikan ibadah umrah. Harga bagi satu pakej ialah RM12,080 dan menjadikan jumlahnya RM241,600,” katanya kepada mStar. Azzim berkongsi perkara itu ketika ditemui di program Sinar Ramadan Bulan Bintang yang diadakan di Surau Al Mukmin, Bandar Saujana Putra, Selangor, pada Sabtu lalu. ARTIKEL BERKAITAN : Tiada wajah Sharnaaz dan Beto Kusyairy untuk kempen raya 2024... Ini jawab pengasas Bulan Bintang! ARTIKEL BERKAITAN : “Harga rahmah, pengalaman mewah” - Pengasas Bulan Bintang mula bimbang ramai minta anjur lebih banyak konsert Sebelum ini tular video seorang ibu tunggal tidak menyangka dapat menjejakkan kaki ke Makkah hasil peraduan yang dilakukan syarikat jenama Bulan Bintang ini. Dalam pada itu, Meri turut menjawab dakwaan kononnya hadiah Nissan GTR R35 yang diberikan kepada pelanggan bertuah sebelum ini merupakan salah satu teknik pemasaran semata-mata. Menjawab mengenai perkara itu, Meri berkata dia tidak melakukan gimik sedemikian kerana perlu menjaga imej duta jenama pakaiannya. "Saya segan kalau kata nak bagi kereta Nissan GTR tapi lepas itu tak bagi, mana aku nak letak muka ni. "Jadi memang kena cari juga pemenang kereta itu, kalau tidak nanti jatuh air muka Hannah Delisha, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar," ujarnya. Shukri, Hannah dan Nadhir artis yang hadir pada program Sinar Ramadan Bulan Bintang. Dalam perkembangan lain, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan hampir RM200,000 untuk kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi program Sinar Ramadan Bulan Bintang. Turut hadir pada program CSR berkenaan ialah selebriti Hannah Delisha, Shukri Yahaya dan Nadhir Nasar selaku duta dan sempat meluangkan masa menyediakan bubur lambuk kepada penghuni di sekitar Surau Al Mukmin. Program tersebut juga merupakan kerjasama Bulan Bintang bersama Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang akan berkunjung ke tujuh buah lokasi di seluruh Malaysia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!