suria

Wanita mengaku adik pengasas Elrah, tipu ramai remaja mahu jadi model... El Azman bakal ambil tindakan

El Azman akan ambil tindakan terhadap wanita yang mengaku sebagai adiknya.

USAHAWAN baju Melayu, El Azman terkejut apabila mengetahui ada seorang wanita membuat pengakuan merupakan adik perempuannya.

Menyedari sindiket penipuan dilakukan wanita itu, El atau Mohd Hilmi Che Azman, 36, berkata dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana bimbang lebih ramai menjadi mangsa.

"Saya dapat cerita ada orang cuba menyamar jadi adik saya, sedangkan saya tiada adik perempuan cuma ada seorang adik lelaki.

"Siap buat pakej umrah untuk cari duta dan sebagainya, selepas dapat tahu saya rasa bertanggungjawab untuk buat laporan polis selepas ini," katanya kepada mStar.

size NP 1 - 2024-04-05T172329.722

El terkejut apabila mengetahui ada individu wanita mengaku sebagai adiknya.

El berkongsi perkara itu ketika majlis berbuka puasa Elrah Exclusive bersama rakan media di Ketam Viral, Bangi, Selangor pada malam Khamis.

Dalam pada itu, El memaklumkan wanita berkenaan sudah dikenal pasti dan dipercayai melakukan penipuan berjumlah hampir RM200,000.

"Saya ada cuba berhubung dengan wanita berkenaan tapi gagal dihubungi, dia hilang tak tahu di mana tapi identiti sudah dikenal pasti.

"Hampir RM200,000 jumlah yang ditipu," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berbaloi bakar butik demi ‘content’, jualan hari Sabtu boleh ‘cover’ komitmen setahun - El Azman

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu hanya mampu berangan, El Azman ‘unlock’ impian jenama sendiri hiasi papan iklan gergasi di tengah KL

Sementara itu, El memberitahu rata-rata yang ditipu merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di kawasan luar bandar.

Antara yang dijanjikan ialah peluang untuk menjadi model pakaian, namun mereka perlu membayar sejumlah wang sebelum menyertai uji bakat.

"Kebanyakkan ditipu budak lepasan SPM, mereka tanya bila boleh datang uji bakat.

"Hampir kesemua mereka merupakan orang luar bandar, kalau saya kira lebih kurang 50 orang sanggup bayar RM800 semata nak jadi model.

size NP 1 - 2024-04-05T172445.394

El akan ambil tindakan undang-undang.

"Banyaknya dari negeri Kedah, Perak, Melaka dan Kelantan, sasaran mereka selalunya di pusat beli-belah.

"Wanita itu juga siap tawarkan pemenang (dipilih jadi model) akan dapat wang tunai sebanyak RM40,000," ujarnya.

Sebelum ini, menerusi hantaran di Instagram, El berkongsi satu klip video memaparkan wanita memakai jubah hitam yang mengakui dirinya sebagai adik kepada pengasas Elrah Exclusive.

Justeru itu, El memuat naik hantaran tersebut untuk meningkatkan kesedaran orang ramai agar tidak terpedaya dengan wanita berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain