suria

Masih sedih ibu bapa pergi selang 41 hari, Norish Karman puas dapat berbakti di akhir hayat mereka

Norish sempat jaga ibu bapanya sehingga akhir hayat.

WALAUPUN sudah setahun berlalu, pelakon Norish Karman masih berada dalam keadaan sedih apabila mengenangkan kedua ibu bapanya sudah pergi menghadap Illahi.

Norish atau Nor Ashikin Karman, 50, berkata banyak kenangan yang tidak mampu dia lupakan terutamanya makanan kegemaran setiap kali mereka sekeluarga berkumpul.

Kata pelakon kelahiran Singapura ini, tidak mudah melalui fasa tersebut memandangkan arwah ibu bapanya pergi dalam tempoh yang singkat.

"Arwah bapa geng makan sate saya, mak pula geng durian! Sampai ke hari ini saya tak boleh nak telan dua makanan ini. Terlalu sedih apabila mengenangkan mereka.

norish

Norish masih kenang pemergian ibu bapa.

"Saya nampak sahaja seperti tiada apa-apa tapi sebanarnya tak okay. Dua orang paling penting dan sentiasa menyokong saya sudah tiada di dunia ini.

"Saya ini ibu tunggal dan yatim piatu, tidak mudah menjadi seorang Norish Karman. Kehilangan ibu dan bapa dalam tempoh 41 hari tidak mudah," katanya kepada mStar.

Menurut Norish, dia tidak terkejut apabila arwah ibu bapanya pergi dalam tempoh singkat memandangkan kedua-dua mereka seperti sepasang kekasih walaupun sudah tua.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditawar berlakon tapi ada syarat buka tudung, Norish Karman tetap pilih istiqamah

ARTIKEL BERKAITAN: Norish Karman mengaku hantar mesej kepada adik Benjy, persoal kebajikan arwah - “Kalau rasa soalan saya mengarut... boleh abaikan”

"Ibu meninggal pada 11 Jun 2023, kemudian saya jaga bapa selepas pemergian ibu. Terubat sedikit kerinduaan pada arwah.

"Bagaimanapun selepas 41 hari iaitu 11 Julai 2023, bapa pula meninggal dunia.

"Mereka memang love birds sejak saya kecil sampailah kedua-dua Allahyarham meninggal dunia," ujarnya.

Dalam pada itu, Norish berkata, walaupun masih bersedih namun sebagai anak dia berasa puas dapat menjaga kedua-dua ibu bapanya di penghujung usia mereka.

nnorish

Norish tumpang kasih ibu bapa orang lain.

Apatah lagi sebelum ini dia sibuk dengan urusan kerja selain menguruskan anak-anak namun bersyukur dapat berbakti kepada mereka.

"Tahun lalu saya meraikan hari raya dengan ibu di unit rawatan rapi (ICU) tapi saya dapat jaga dia sehingga ke akhir hayatnya.

"Saya bukan anak yang baik. Saya terlepas peluang menjaga mereka bertahun-tahun lamanya tapi saya percaya doa.

"Ibu meninggal dunia ketika bersama saya dan bapa pula menghembuskan nafas terakhir di dalam rumah saya. Kuasa doa itu luar biasa," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain