GARA-GARA mengenakan baju tanpa lengan, penyanyi Tom dikritik netizen tidak melakukan pantang dengan baik selepas melahirkan anak keempatnya pada Februari lalu. Menyangkal dakwaan itu, Tom atau Raja Farah Afzan Raja Ikram, 38, sebaliknya menjelaskan dia mengikuti tempoh berpantang dengan baik malah suaminya, Fuad Rahman turut mengupah bidan bagi menjaganya di rumah. Namun dia mudah berasa rimas apabila jika memakai baju berlengan panjang yang dipercayai bagi mengelak angin masuk ke dalam badan. "Saya memang berpantang selepas bersalin tapi cumanya saya tak selesa pakai baju atau seluar panjang... Rimas dan tak biasa! Tom selesa pakai baju tanpa lengan. "Tapi yang lain-lain saya jaga, berpantang dan bertangas semua saya buat. Fuad pun siap upah confinement lady untuk saya," katanya kepada mStar. Kata Tom, pantang kali ini juga lebih teratur dan terjaga berbanding sebelum ini apabila dia terpaksa kembali bekerja selepas bersalin. Jelasnya, disebabkan perkara itu dia ada berasa bimbang jika tindakannya akan mendatangkan kesan buruk pada masa akan datang. "Mestilah risau, takut kesan dekat badan nanti tapi kalau ikutkan pantang kali ini lebih terjaga sebenarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Selera pelik Tom sepanjang hamil anak keempat, suka makan limau sekali dengan kulit ARTIKEL BERKAITAN: Tom selamat bersalin bayi perempuan secara pembedahan, beri nama anak keempat Anggun "Kalau dulu lepas bersalin saya terus kerja. Pakai seluar dan skirt pendek sebab kerja dekat kelab malam," imbaunya. Tom berkata dia bersyukur apabila Fuad sentiasa memudahkan urusannya dalam menjaga anak keempatnya itu. "Dia pun banyak membantu sebenarnya... mandikan anak apa semua itu. Tapi saya pun tak nak manjakan diri saya juga jadi bantu mana yang perlu. "Saya pun kalau boleh nak pantang 100 hari tapi itu kalau mampulah," luahnya. Saya pun kalau boleh nak pantang 100 hari tapi itu kalau mampulah. TOM PENYANYI Sementara itu, Tom memberitahu dia bersama Fuad bakal beraya dia Singapura pada tahun ini. Katanya keputusan itu diambil selepas ibunya sibuk menguruskan perniagaan di Taiping malah anak-anaknya gemar beraya di negara berkenaan. "Tahun ini pun beraya di Singapura sebab anak-anak suka beraya di sana sebab dapat kumpul duit raya lebih lumayan. "Saya pun nak ambil peluang ini memperkenalkan anak kami kepada kaum keluarga di sana," jelasnya. Anak-anak Tom teruja beraya di Singapura. Pada Februari lalu, Tom selamat bersalin anak perempuan yang diberi nama Anggun di Hospital Sungai Buloh. Untuk rekod, Tom dan Fuad bernikah pada 23 Februari tahun lalu di Batam, Indonesia. Sebelum ini Tom pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan hasil perkahwinan tersebut dia mempunyai tiga orang cahaya mata lelaki. Manakala Fuad pula pernah berkahwin sebanyak dua kali dan memiliki dua orang anak hasil perkahwinan pertama. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!