suria

Kenji Sawahi jaga standard pelakon, tolak tawaran buat live jual produk - “Pernah nampak Stephen Chow jual barang?”

Kenji Sawahi enggan merendahkan standard sebagai pelakon.

PELAKON Kenji Sawahi tidak akan merendahkan standard sebagai pelakon dengan mencari rezeki sampingan di media sosial.

Kenji atau Lim Boon Wah, 61, berpendapat seorang pelakon sepatutnya tidak menggunakan masa terluang dengan melakukan pekerjaan lain sebaliknya berehat sebagai persediaan untuk karya akan datang.

"Sejujurnya saya tak mahu turunkan gred saya untuk buat kerja lain seperti bersiaran langsung atau promosi produk orang di laman sosial.

Untitled design (34)

Kenji percaya pelakon perlu guna masa rehat untuk buat persediaan bagi karya akan datang.

"Kalau tak ada tawaran berlakon, saya lebih rela berehat dan belajar. Gunakan masa terluang belajar tentang penulisan skrip, memperbaiki lakonan dan sebagainya.

"Dengan cara itu saya jadi lebih bersedia apabila ada tawaran berlakon yang lain," katanya kepada mStar.

Kenji berkongsi pandangannya itu susulan pelawak Azlee Senario mendedahkan dia menjana pendapatan lumayan dengan hanya membuat video siaran langsung di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat gift RM8,900 ketika live di TikTok, Azlee Senario bukan menggemis tapi hargai pemberian peminat

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kenji Sawahi sedang dalami Islam, berguru dengan ‘Pak Haji’... “Kalau Tuhan izinkan”

Bagaimanapun kata Kenji, pendiriannya itu bukan bererti dia memandang rendah kepada artis lain memanfaatkan media sosial sebagai punca mencari rezeki.

Jelas pelakon Layang-Layang Perkahwinan itu, seorang selebriti itu juga harus bijak menguruskan kewangan agar tidak berdepan kesukaran hidup di usia tua.

"Saya tak halang mereka cari rezeki di media sosial, rezeki itu halal dan mungkin keadaan mereka menyebabkan mereka cari rezeki di situ.

Kalau tak ada tawaran berlakon, saya lebih rela berehat dan belajar.

KENJI SAWAHI

PELAKON

"Saya kasihan dengan nasib para seniman yang hidup susah setelah kurang tawaran lakonan atas faktor usia.

“Tapi mereka patut lebih bijak urus kewangan supaya apabila tiada tawaran, sekurang-kurangnya mereka ada simpanan yang boleh digunakan," ujarnya.

Jelas Kenji, dia mencontohi pelakon veteran antarabangsa lain dalam menjaga reputasi mereka sebagai selebriti ternama.

Untitled design (33)

Kenji percaya pelakon sepatutnya lebih arif dalam menguruskan kewangan.

"Saya tanya mereka yang minta saya buat live jual produk, pernah nampak Stephen Chow atau Andy Lau jual barang?

"Saya sayangkan bidang seni dan sya mahu jaga reputasi saya sebagai pelakon," katanya.

Untuk rekod, Kenji memulakan karier lakonan pada 1986 dan sejak itu sudah membintangi ratusan drama dan filem termasuk The Assistant, Maria Mariana dan Daulat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain