RINDU arwah ibu tercinta, personaliti media sosial Ubai meluahkan rasa syukur kerana berkat doa ibundanya itu dia dikurniakan seorang isteri yang baik dan rezeki melimpah ruah. Berterima kasih atas segala pengorbanan arwah semasa hayat, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, berjanji akan menjaga isteri iaitu Shila Amzah dan keluarga dengan baik. "Alhamdulillah mak, atas doa mak Ubai dapat isteri yang sangat baik, rezeki yang melimpah ruah dan tak lama lagi mak akan dapat cucu pertama. Shila dan Ubai bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. "Ubai janji jaga Sha (panggilan Shila) dan keluarga dengan baik. Terima kasih atas doa dan pengorbanan mak selama ini. Ubai rindu," katanya. Ubai berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Isnin. Dalam pada itu, Ubai turut memberitahu banyak perubahan yang berlaku selepas pemergian ibunya pada tahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah dan Ubai sambut raya secara sederhana, fokus kelahiran anak pada bila-bila masa ARTIKEL BERKAITAN: [V] Shila Amzah belum sedia jumpa ibu dan adik-beradik, suami nasihat jaga emosi ketika hamil Kata Ubai, rumah peninggalan Allahyarham sudah dinaik taraf olehnya dan isteri, malah mereka turut menerima kunjungan tetamu yang ramai pada Aidilfitri lalu terutamanya dalam kalangan rakan-rakan arwah adiknya iaitu Azrul. "Banyak yang berubah selepas pemergian mak. Rumah mak dah cantik Ubai dan Sha (panggilan Shila) buat. "Semua yang datang beraya, semua suka tengok rumah. Pusara mak dan Azrul pun dah cantik. Pagi raya ramai datang melawat, lagi-lagi kawan Azrul. "Kan best kalau Ubai boleh kongsi rezeki yang ada sekarang dengan Mak dan Azrul," ujarnya. Ubai kehilangan ibu pada Julai tahun lalu. Pada 30 Julai tahun lalu, ibu Ubai iaitu Rohani Jamal meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat kanser ovari tahap tiga. Sebelum itu, Ubai kehilangan adik lelakinya iaitu Muhammad Azrullah Mohd Zulkefli yang meninggal dunia pada 4 Mei tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. Untuk rekod, Ubai bernikah dengan Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, pada 5 Ogos 2023 dan kini sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!