SEJAK beberapa hari lalu heboh di media sosial kononnya pelakon Angeline Tan sedang hamil selepas enam bulan mendirikan rumah tangga dengan aktor dan pengarah Sabri Yunus. Mengulas mengenai perkara itu, Sabri, 63, menyifatkan berita tersebut sebagai fitnah paling kelakar pernah didengarinya sejak mendirikan rumah tangga. "Hari ini paling kelakar sepanjang enam bulan lalu. Hari ini tular fitnah paling kelakar," katanya. Sabri minta agar tiada yang percaya cerita isterinya kini hamil. Sabri berkongsi mengenai perkara tersebut di laman Facebook miliknya. Dalam pada itu, Sabri turut mempersoalkan pihak tidak bertanggungjawab yang tergamak menyebarkan berita tersebut sedangkan ia tidak pernah keluar daripada mulutnya. Apa lebih menyedihkan kata Sabri, ada pihak percaya dan menyampaikan berita itu kepada pihak lain sehingga menimbulkan fitnah. ARTIKEL BERKAITAN: Akad nikah Sabri Yunus dan Angeline Tan sah, bekas mufti jelas kekeliruan lafaz ringkas ‘Aku Terima’ ARTIKEL BERKAITAN: Sabri Yunus cerita pengalaman umrah bersama isteri, Angeline Tan mengalir air mata sempat bisik ‘terima kasih abang’ "Kepada mereka yang memulakan isu ini, dia tidak rasa bersalah atau rasa berdosa? "Kepada yang menyambut dan menyambung menularkan cerita ini tidak berasa perkara sama?," ujarnya. Tambah pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, fitnah tersebut memberi kesan dan menganggu aktiviti hariannya kerana perlu menjawab pertanyaan pelbagai pihak. Ada yang ambil kesempatan sebar fitnah kononnya Angeline kini sedang hamil. "Puas nak menjawab pada kawan yang bertanya sebab mahukan kepastian. "Ada yang kata tidak mengapa kerana benda baik namun bagi saya yang tak baik itu fitnah... Fitnah tak mungkin baik," tegasnya. Untuk rekod Sabri dan Angeline atau nama Islamnya Ardini, 57, mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober tahun lalu. Mereka dinikahkan sendiri oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya di Arau, Perlis. Sebelum ini pernah timbul isu kononnya lafaz nikah mereka didakwa tidak sah kerana Sabri hanya menyebut 'aku terima'. Perkara tersebut bagaiamanapun telah dijelaskan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Sulkifli Al-Bakri sebagai lafaz ringkas dan hukumnya tetap sah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!