PENYANYI Aina Abdul menyifatkan peluang menjayakan konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada Mei depan, ibarat mimpi menjadi kenyataan. Kata Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, dia bersyukur apabila menerima lamaran dari pihak MPO di usia kerjaya seninya yang dianggap masih baharu. "Ini adalah peluang keemasan yang saya tunggu-tungu sepanjang karier saya, semua tahu peluang seperti ini tidak hadir dengan cepat dan tidak mudah. "Saya bersyukur apbila pihak MPO melamar saya, bagi saya peluang keemasan yang saya tunggu kerana ini adalah pencapaian yang ingin capai dalam kerjaya saya," katanya kepada mStar. Aina bersukur apabila menerima lamaran dari pihak MPO. Aina berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konsert Aina Abdul bersama MPO yang berlangsung di Traders Hotel Kuala Lumpur pada Khamis. Konsert Aina Abdul bersama MPO akan diadakan selama dua malam iaitu pada 10 Mei dan 11 Mei 2024 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Aina akan mempersembahkan karyanya termasuk Sumpah, Semalam dan Terus Hidup serta dua buah medley dari lagu-lagu lain yang pernah dinyanyikannya sebelum ini. Dalam pada itu, Aina turut mengakui dia berdepan cabaran untuk menyanyikan karya ciptaannya dalam gubahan simfoni yang cukup berbeza. Menurut pelantun lagu Sumpah itu, dia sedang memerah otak untuk mengeluarkan idea baru kerana mahu menyajikan pengalaman yang berbeza kepada penonton. ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab dipilih penyanyi pembukaan konsert Ailee, Aina Abdul janji persembahan bertenaga ARTIKEL BERKAITAN: Kerap berbaju kurung sepanjang Ramadan, peminat puji gaya sederhana Aina Abdul "Saya tidak pernah ada peluang menyanyi dengan gubahan simfoni sebegini, ini pertama kali dalam hidup saya menyanyi dengan 60 orang barisan pemuzik. "Selepas saya dah dengar semua karya yang saya terima, saya menelan air liur juga kerana memikirkan cara untuk mengambil hati peminat saya sekali lagi seolah-seolah seperti kali pertama mereka mendengar nanyian saya," ujarnya. Dalam pada itu, Aina sangat menitikberatkan kekuatan vokal dan kolaborasi muzik bersama barisan pemuzik handalan yang akan mengiringi persembahannya nanti. Jelasnya, kostum dan fesyen bukan keutamaanya namun dia tetap menjanjikan penampilan bersesuaian dan tidak terlalu menonjol. "Komponen paling penting untuk konsert ini ialah vokal kemudian, kerjasama saya dengan pemuzik. Yang ketiga saya fikirkan ialah baju atau kostum. Aina bakal berkerjasama dengan Ahmad Muriz selaku konduktur muzik. "Saya sudahpun memikirkan bagaimana nak tampilkan kostum yang ikonik dikelilingi dengan 60 orang pemuzik lain. "Saya tak mahu penampilan saya 'overshadow' muzik yang saya tampilkan, Saya mahu segalanya dilihat sempurna dan seimbang," katanya. Tiket konsert Aina Abdul bersama MPO sudah pun mula terjual di laman web MPO. Lima kategori tiket adalah Suite pada harga RM600, Permium (RM555), A Reserve (RM455), B Reserve (RM355), C Reserve (RM255). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!