PENANTIAN 10 tahun peminat akhirnya berakhir apabila kumpulan CNBLUE beraksi di atas pentas menerusi konsert 2024 CNBLUE Live ‘CNBLUENTITY’ di Kuala Lumpur pada malam Sabtu. Konsert berkenaan yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dibanjiri 5,000 peminat yang teruja menyaksikan persembahan band dari Korea Selatan ini. Tidak hanya itu, rata-rata peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Boice turut mengenakan pakaian berwarna biru bersesuaian dengan tema kumpulan pujaan mereka. Persembahan bertenaga daripada CNBLUE buat peminat berpuas hati. Tampil menyampaikan 24 buah lagu, CNBLUE membuka tirai persembahan dengan I’m A Loner yang juga merupakan antara lagu yang menaikkan nama mereka dalam industri muzik. Sepanjang tiga jam konsert berlangsung, CNBLUE menampilkan persembahan cukup bertenaga dengan kelincahan mereka beraksi di atas pentas sambil bermain alat muzik. Vokalis mereka iaitu Yonghwa mengagumkan ramai apabila menonjolkan lontaran vokal yang padu dan konsisten sepanjang persembahan. ARTIKEL BERKAITAN: Penantian 10 tahun peminat berakhir, konsert CNBLUE di Kuala Lumpur 20 April ARTIKEL BERKAITAN: CNBLUE Diarahkan Bayar Pampasan Ciplak Lagu Bukan itu sahaja, aksi Minhyuk (pemain drum) dan Jungshin (pemain bas) mengedalikan instrumen mereka turut berjaya memukau peminat malah dua orang anggota berkenaan turut menyanyi bersama Yonghwa. Selain lagu I’m A Loner, kumpulan ini turut mendedangkan lagu popular mereka yang sering menjadi siulan penggemar termasuklah Love Cut, Young Forever, Love Girl dan Hey You. Dalam pada itu, percubaan anggota CNBLUE bercakap dalam bahasa Melayu menerima pujian peminat malah ramai yang geli hati melihat telatah lucu mereka di atas pentas. Aksi Minhyuk memuaku penonton yang hadir. Kemunculan mereka di Malaysia bukan sahaja mengubat rindu dalam kalangan Boice malah CNBLUE sendiri teruja dapat bertemu dengan peminat setelah sekian lama. “Setelah 10 tahun, saya sangat gembira menerima peluang untuk beraksi dan berjumpa peminat di Malaysia,” kata Jungshin. Ketika di penghujung konsert, anggota CNBLUE menerima kejutan apabila peminat mereka menyediakan sebuah video istimewa dengan ucapan yang cukup menyentuh hati. 5,000 peminat membanjiri Mega Star Arena pada malam Sabtu. Dalam video tersebut, Boice meluahkan rasa sayang mereka kepada kesemua anggota band berkenaan dan berharap agar dapat bertemu sekali lagi pada konsert akan datang. Kagum dengan usaha para peminat mereka, Yonghwa berjanji untuk meletakkan Malaysia antara salah satu destinasi yang mereka akan kunjungi untuk konsert kelak. “Saya tersentuh hati melihat video yang anda semua sediakan, oleh itu, saya janji untuk kembali lagi sekali ke Malaysia,” luahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!