PENYANYI Zizi Kirana tidak bimbang dengan kritikan orang ramai susulan mengambil keputusan menyertai program terbaharu The Hardest Singing Show yang bakal bermula 12 Mei depan. Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 39, berkata, dia akan memastikan menitikberatkan dan mematuhi garis panduan agama dalam setiap persembahannya. Malah Zizi memberitahu turut mendapatkan bimbingan daripada orang-orang terdekat bagi memastikan persembahannya bersesuaian dengan imejnya yang menutup aurat. Zizi menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada Selasa. "Insya-Allah penghijrahan saya tak menghalang saya untuk berkarya bagi program kali ini. "Saya akan buat ikut kemampuan saya berdasarkan batas-batas agama supaya persembahan saya tidak keterlaluan. "Saya juga ada pasukan yang akan bimbing dan menjadi check and balance dalam setiap gerak geri saya. Insya-Allah semuanya baik-baik sahaja," katanya kepada mStar. Zizi berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pengenalan sembilan peserta program berkenaan yang diadakan pada petang Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: 9 penyanyi popular sahut cabaran, ‘The Hardest Singing Show’ cari kreativiti dalam persembahan ARTIKEL BERKAITAN: Pilih ‘circle', bergaul dengan agamawan cara Zizi Kirana kekal istiqamah... Syukur tak pernah terdetik buka tudung Penyanyi itu sebelum ini mengumumkan penghijrahannya pada penghujung 2021 dan sejak itu Zizi mula memperlahankan karier seni dan melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan. Dalam pada itu, Zizi memberitahu dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apatah lagi sudah agak lama berehat daripada mengadakan persembahan program secara langsung. Disebabkan itu, dia kini sedang giat mengadakan latihan bagi memastikan kemunculannya di pentas The Hardest Singing Show meninggalkan kesan. "Saya gementar sebab sudah lama tak muncul di atas pentas, jadi harap peminat akan berpuas hati. Penghijrahan saya tak menghalang saya untuk berkarya. ZIZI KIRANA PENYANYI "Saya kena kerja lebih lagi sebab barisan penyanyi lain juga semuanya hebat-hebat dan ramai di antara mereka sudah biasa buat persembahan. "Sekarang saya dan pasukan perlu terokai idea-idea menarik untuk menarik perhatian penonton," katanya. Selain Zizi, lapan lagi peserta terlibat adalah Datin Alyah, Aisha Retno, Stacy, Ayda Jebat dan Epul Roza. Turut bertanding adalah kumpulan De Fam, Zizi Kirana dan Putera Mohammad. Zizi (berdiri dua dari kiri) terlibat dalam program The Hardest Singing Show. Persembahan peserta The Hardest Singing Show bakal diadili oleh juri profesional iaitu Edry Abdul Halim, Zizan Razak dan Datuk Rossa. Ia bakal dihoskan oleh Rina Nose dan Nabil Ahmad. The Hardest Singing Show bakal bersiaran setiap Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria bermula 12 Mei depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!