SETELAH sekian lama mendiamkan diri, akhirnya penyanyi Syasya Rizal tampil mengulas mengenai tindakannya meninggalkan kumpulan Dolla. Mengakui bukan mudah membuat keputusan itu, Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, berkata dia reda menerima takdir tertulis meskipun ia melukakan hati peminat. "Saya tahu keputusan yang saya buat sedikit sebanyak buat ramai keliru, marah dan mungkin terguris perasaan. "Namun takdir telah tertulis bahawa saya perlu membuat keputusan di saat paling sukar demi kelangsungan hidup. Kenyataan Syasya yang dimuat naik di Instagram miliknya. "Saya tahu sebahagian peminat terluka dengan keputusan ini tapi sejujurnya luka itu lebih besar untuk diri saya kerana perlu menerima dan melalui ketentuan ini," katanya. Syasya berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Jumaat. Dalam pada itu, Syasya turut memberitahu dia akan sentiasa memberikan sokongan terhadap anggota kumpulan Dolla yang lain iaitu Sabronzo, Angel dan Tabby. Malah, dia mahu melihat Dolla meneruskan impian mereka untuk beraksi di pentas antarabangsa. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syasya masih artis naungan Universal Music, ada kemungkinan bergerak secara solo ARTIKEL BERKAITAN: Padam foto di IG selepas kahwin, anggota Dolla tumpang gembira Syasya bahagia bergelar isteri "Untuk Dolla pula, saya sentiasa menyokong kerjaya kakak-kakak yang sudah bersama saya dari permulaan kerjaya. "Dolla adalah segalanya dan sangat berharga buat saya. Impian untuk Dolla melangkah ke pentas antarabangsa masih saya sematkan dalam jiwa walaupun sudah tidak bersama dengan mereka lagi. "Saya yakin kakak-kakak Dolla masih boleh meneruskan impian mereka dengan sokongan daripada peminat kami. Semangat saya sentiasa ada bersama mereka," ujarnya. Syasya turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan keluarga. Malah, dia berkata dirinya masih individu yang sama seperti diawal kemunculannya bersama Dolla sejak lima tahun lalu. "Untuk segalanya saya harap kita semua masih terus bersama dan mohon doa kalian yang baik-baik sahaja untuk saya dan keluarga. Syasya kini bergelar seorang isteri. "Jangan risau saya masih Syasya yang sama, orang yang kalian kenal sewaktu pertama kali saya muncul bersama Dolla pada 2019," katanya. Pada 8 April lalu, Syasya mengumumkan pengunduran dirinya daripada kumpulan Dolla diatas sebab peribadi yang tidak dapat didedahkan. Syasya kemudiannya membuat kejutan apabila wakil syarikat rakaman Universal Music Malaysia mengesahkan dia sudah selamat bergelar isteri. Sebelum itu, foto Syasya manis mengenakan baju rona putih sedang duduk di tepi seorang lelaki memakai baju Melayu di dalam sebuah masjid tular di media sosial. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!