suria

Eyka Farhana kongsi detik perkenalan dengan Akhyar Rashid, tiada masalah jalani percintaan jarak jauh

Eyka berkongsi kisah perkenalan bersama Akhyar (kiri).

KIRIMAN mesej di Instagram permulaan detik perkenalan pelakon Eyka Farhana dengan teman lelakinya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.

Eyka atau Wan Atiqa Wan Sarmizi, 29, mendedahkan pada awalnya dia tidak mengetahui latar belakang Akhyar dan adiknya yang meminta dia cuba berkenalan dengan pemain bola sepak tersebut.

"Dia DM saya di Instagram. Pada mulanya saya tidak kenal siapa yang DM saya itu. Saya tanya adik saya dan beritahu dia kenal siapa Akhyar.

eyka2 - 1

Eyka akui selesa menjalani perhubungan jarak jauh.

"Adik minta saya cuba untuk bertemu dengannya dan pada awalnya saya agak keberatan untuk berkawan dengan pemain bola sepak.

"Tetapi itulah... Sekarang Alhamdulillah hubungan kami sudah cecah lima tahun," katanya.

Eyka berkongsi perkara itu ketika muncul dalam sesi podcast Studio Sembang bersama Amelia Henderson di YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Karier masih nombor satu, Eyka Farhana belum ada perancangan nikah Akhyar Rashid

ARTIKEL BERKAITAN: "Mereka lebih tahu!" - Eyka Farhana biarkan netizen buat spekulasi hubungan dengan Akhyar Rashid

Dalam pada itu, Eyka berkata, walaupun menjalinkan hubungan jarak jauh namun mereka tidak berdepan masalah malah ia membantu mereka fokus terhadap karier masing-masing.

Ia susulan Eyka berada di Kuala Lumpur manakala Akhyar menetap di Terengganu kerana bermain untuk pasukan Terengganu FC (TFC).

"Hubungan kami tidak mempunyai masalah daripada segi masa sebab kami menjalani perhubungan jarak jauh (PJJ).

"Kami pun jarang jumpa dan disebabkan itu saya banyak memberi fokus kepada kerjaya seni. Bila kami masing-masing tak sibuk barulah kami luangkan masa untuk berjumpa," ujarnya.

Biarpun berjauhan, pelakon drama Budak Tebing ini mengakui mereka tetap meluangkan masa untuk bertemu sekiranya mempunyai waktu lapang.

Kata Eyka, hubungan jarak jauh ini memerlukan kepercayaan selain kualiti masa bersama lebih dirasai.

eyka1 - 1

Eyka pada awalnya saya agak keberatan untuk berkawan dengan pemain bola sepak.

"Hubungan ini menjadi lebih mudah kerana kami PJJ. Kami banyak buat panggilan video dan sebenarnya kami ada sahaja masa untuk luangkan bersama.

"Bila saya cuti saya ke tempatnya, kalau dia pula cuti walaupun dalam sehari dua, dia juga akan datang ke Kuala Lumpur.

"Bila kita jarang berjumpa, barulah kami rasa kualiti masa bersama. Bagi saya, kepercayaan itu juga sangat penting," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain