suria

[V] Sudah seminggu terima rawatan di HKL, Hail Amir sempat luah rindu nak jumpa cucu

Hail sudah seminggu menerima rawatan di HKL.

ALLAHYARHAM Datuk Hail Amir sudah seminggu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat mengalami batuk berterusan sebelum disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Anak perempuannya iaitu Cinta Hailfi, 35, berkata, arwah mula hilang selera makan sejak awal pagi Isnin sebelum menghembuskan nafas terakhirnya sekitar pukul 3.48 petang di hospital berkenaan.

"Pagi tadi dia tak berapa selera hendak makan dan kami hanya berinya minum susu.

“Kalau diikutkan sudah seminggu Papa di hospital, dia memang batuk. Jadi, bila masuk ke sini baru tahu Papa ada jangkitan kuman dalam paru-paru.

haill2 - 1

Hail mengalami batuk berterusan sebelum disahkan mengalami jangkitan kuman.

“Pihak hospital memang ada tunjuk imbasan X-Ray tapi kami pun tak tahu sama ada itu sudah teruk ataupun tidak,” katanya kepada pemberita.

Cinta berkongsi perkara itu ketika ditemui di Unit Forensik HKL sementara menanti proses pengurusan jenazah.

Jenazah dijangka akan dikebumikan pada pagi Selasa di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Berkongsi lebih lanjut, Cinta mengakui dia dan keluarga agak terkejut dengan pemergian bapanya selepas dimaklumkan keadaan arwah dalam semakin baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi veteran Hail Amir meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Hail Amir sedang dirawat akibat jangkitan kuman paru-paru, keluarga tak terima pelawat

Namun dia juga mengakui bimbang untuk meninggalkan bapanya bersendirian selepas melihat keadaannya semakin lemah.

“Pihak hospital maklumkan untuk beri antibiotik dan mungkin ambil masa lima ke enam hari. Kami juga dimaklumkan keadaan Papa semakin baik.

“Tapi kami nampak dia semakin lemah. Mungkin disebabkan keadaan jantungnya,” katanya lagi.

Menurut Cinta, bapanya juga sempat meminta untuk bertemu dengan cucunya memandangkan sudah seminggu tidak bertemu dengan mereka.

Pagi tadi dia tak berapa selera hendak makan dan kami hanya berinya minum susu.

CINTA HAILFI

ANAK HAIL AMIR

“Papa memang sangat sayang dengan cucunya. Dia sentiasa akan berjumpa cucu kerana benda itu menggembirakan dia. Dia ada lapan cucu,” ujarnya.

Sebelum itu, Cinta menerusi satu kenyataan media kepada mStar memaklumkan penyanyi tersebut sedang menerima rawatan antibiotik bagi mengawal jangkitan pada paru-paru.

Pada Ahad, pelakon Farouk Hussain memaklumkan Hail berada dalam keadaan tenat semasa menziarahinya di HKL.

Menurut Farouk, Hail sukar berkomunikasi selain tidak mengenali orang yang datang menziarahinya dan melihat pada keadaannya, Farouk meminta rakan selebriti menziarahinya.

haill11 - 1

Kenangan Hail (tengah) bersama keluarga tercinta.

Pada 2018, Hail pernah dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung selepas mengadu sakit dada.

Untuk rekod, Hail memulakan kerjaya seni sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an.

Bakatnya mula menyerlah apabila ditawarkan watak utama menerusi filem berjudul Jiwa Remaja di samping Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam.

Antara filem lain lakonannya ialan Menanti Hari Esok, Ribut Barat dan Anita Dunia Ajaib.

Hail turut popular dengan beberapa lagu antaranya Wajah Kesayangan Hamba, Hujan, Tanda Kasih, Kabus dan Merpati Dua Sejoli selain cukup sinonim sebagai rakan duet Uji Rashid.

Setelah 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni, penyanyi tersebut dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Datin Safiah Ibrahim dan empat orang cahaya mata serta lapan orang cucu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain