SELEPAS namanya dipetik beberapa kali dalam gerakan Blockout2024, pelakon Mira Filzah akhirnya tampil bersuara mempertahankan diri. Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, menyangkal dakwaan dia mengambil pendekatan berdiam diri daripada bercakap tentang isu Palestin di media sosial miliknya. Sebaliknya kata Mira, dia aktif mengetengahkan isu berkenaan sejak Januari lalu dan bukannya baru berkongsi tentang rakyat Palestin sejak gerakan tersebut tercetus. Mira kongsi hantaran yang pernah dilakukan. "Siapa yang datang semata-mata nak stalk sahaja rasa 'dan dan' repost. "Siapa yang dah lama follow atau memang follow, mesti tahu apa yang saya selalu repost. Meh saja tunjuk ya. "Sebelum 12hb Mei, (sebelum gerakan block tular) pada 10hb, 9hb, 8hb, 7hb pun saya ada repost. Dari Jan 2024 pun dah repost dah. Bukan 'dan dan'," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Impian Mira Filzah lebar sayap ke Indonesia tercapai, bergandingan dengan Refal Hady dalam filem cinta ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mira Filzah tak akan sorok jika benar hamil, mahu berbulan madu ke Eropah minggu depan Mira berkongsi perkara itu menerusi ciapan di platfrom X pada Isnin. Bukan itu sahaja, Mira turut berkongsi beberapa tangkap layar tentang hantaran pernah dikongsi mengenai Palestin di media sosialnya sebelum ini. Dalam pada itu, Mira turut berharap netizen berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata malah menyarankan mereka untuk bertindak sesuai dengan keadaan. "Buat apa saja awak nak buat, nak block just block, tapi tak payah sampai keluarkan kata kata tidak baik. Mira sentiasa menunjukkan sokongan terhadap Palestin. "Ia #blockout bukan #makiout. Ingat, penulisan kita pun ada dosa dan pahala," ujarnya. Gerakan Blockout bermula di pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala 2024 yang berlangsung di Muzium Seni Metropolitan New York pada 6 Mei lalu bagi menunjukkan bantahan terhadap selebriti yang membisu mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin. Disebabkan gerakan tersebut, bintang realiti Kim Kardashian hilang tiga juta pengikut media sosialnya diikuti Blackpink, Taylor Swift dan Selena Gomez. Gerakan tersebut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis. Antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Siti Saleha, Nabila Razali, Nadhir Nasar, Daiyan Trisha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi. Rata-rata netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!