MENYEDARI namanya tersenarai dalam gerakan Blockout2024 kerana didakwa bekerjasama dengan jenama pro Israel, pelakon Meerqeen bagaimanapun menegaskan dia sentiasa cakna dengan situasi getir sedang berlaku di negara Palestin. Dalam hal ini, Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, berkata dia mengambil tahu perkembangan terkini dan tidak lupa memberikan sumbangan untuk saudara Islam di negara berkenaan. Meerqeen bagaimanapun berpendapat tiada keperluan untuk dia berkongsi mengenai perkara itu kepada umum. "Mungkin siapa yang tak ikut saya, tak tahu apa saya buat selama ini. Saya tetap menyokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana. Buat apa saya hendak menunjuk perkara itu kepada umum. Meerqeen menzahirkan sokongan terhadap Palestin. "Kadang-kadang sebagai manusia kita sibuk dengan kerja dan tak tengok telefon bimbit sangat. Tapi, apapun pengikut saya tahu apa pegangan saya dalam isu ini," katanya kepada mStar. Meerqeen menjelaskan mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju yang diadakan di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Khamis. Dalam pada itu, Meerqeen menyedari sebagai umat Islam dia seharusnya menunjukkan sokongan terhadap Palestin dan memohon maaf jika tindakannya sebelum ini mengores hati ramai pihak. "Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya... tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. Saya minta maaf sekiranya perkara ini membuatkan segelintir pihak tidak senang. ARTIKEL BERKAITAN: Nadhir Nasar terpaksa promosi produk dikaitkan Israel kerana bimbang disaman, ambil serius gerakan boikot selebriti ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan rasa terpaling Islam" - PU Azman nasihat hati-hati boikot, takut hilang pahala "Sejak 2022 saya bersuara mengenai isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial. Saya juga menyumbang untuk saudara kita di Palestin," ujarnya. Dalam pada itu, Meerqeen berkata dia mahu memberi fokus terhadap karier lakonan dan enggan isu boikot ini memberi kesan kepada kerjaya seninya. "Saya fokus kepada kerja dan tak mahu ada perkara lain mengacau prestasi saya. Saya memilih untuk teruskan seperti biasa, saya tahu apa saya buat untuk saudara di sana. "Nasihat saya kepada sesiapa yang ada duit lebih, sebaiknya kalian menyumbang kepada Palestin. Kerana bila ada duit lebih saya juga akan asingkan untuk Palestin. Saya tak mahu cakap mengenai perkara itu kerana ia antara saya dan keluarga,” jelasnya. Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya... tiada Melayu Islam yang menyokong Israel. MEERQEEN PELAKON Mengulas mengenai kontrak bersama jenama yang didakwa menyokong Zionis, pelakon drama Angkara Cinta ini memaklumkan perkara berkenaan masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan. "Kontrak masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan kerana ada beberapa kontrak yang saya masih lihat lagi," katanya. Sebelum ini, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin. Nama Meerqeen turut tersenarai dalam gerakan Blockout2024. Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk ada kaitan dengan Israel di media sosial milik mereka. Gerakan tersebut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro Zionis. Selain Meerqeen, antara selebriti Malaysia yang tersenarai adalah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan ramai lagi. Rata-rata netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti kegemaran mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube