SUSULAN kenyataan usahawan Datuk Noora Kay meminta tidak lagi mencampuri urusan bekas suaminya,pelakon Ellie Suriaty tampil mempertahankan diri. Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, berkata, dia membantu menguruskan perkahwinan bekas suaminya, Azri Iskandar atas permintaan aktor itu dan anak-anak mereka sebagai wakil pihak lelaki. Jelasnya, walaupun sudah tiada ikatan suami isteri namun dia tidak mempunyai sebab bermasam muka dengan Azri memandangkan mereka mempunyai anak bersama. Noora sebelum ini tampil memberi penjelasan bagi pihak dirinya. "Netizen mengutuk Azri, mengutuk saya. Adakah lepas bercerai perlu menjadi musuh? "Dia bapa anak-anak saya... dia sebatang kara! "Dia dan anak-anak minta saya wakil sebelah lelaki... Hanya orang toksik saja yang berfikiran negatif," katanya. Elly menjelaskan perkara itu menerusi ruang komen video temu bual mStar bersama Noora berhubung isu dia tidak jadi berkahwin dengan Azri di TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak capai ‘KPI’ sebagai suami, Datuk Noora minta Azri Iskandar tegas buat keputusan - “Saya mahu lelaki bertanggungjawab” ARTIKEL BERKAITAN: [V] Datuk Noora Kay minta Ellie Suriaty ‘move on’, biar Azri Iskandar berdikari dan buat keputusan sendiri Noora menerusi temu bual itu mendedahkan Azri tidak memenuhi ‘KPI’ sebagai suami membuatkan dia memutuskan hubungan mereka. Usahawan itu juga meminta Ellie ‘move on’ daripada Azri agar aktor itu boleh berdikari dan membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan orang lain. Berang dituduh cuba mengawal kehidupan Azri walaupun sudah bercerai, Elly menjelaskan dia hanya bertemu Noora dan Azri ketika melakukan perbincangan perkahwinan mereka. Sebaliknya, Ellie mendakwa Noora yang cuba mengawal Azri malah sering mengadu kepadanya jika tidak dapat berhubung dengan aktor tersebut. Komen yang ditinggalkan Ellie di TikTok mStar. "Siapa yang kawal? Kamu (Noora) keluar dengan Azri, kamu sampai rumah... Bila kamu hubungi dia tak angkat, kamu menggelabah mengadu pada saya. "Saya tenangkan kamu cakap Azri mungkin dalam bilik air. Dia ini bercakap seolah Azri nak berak pun minta pandangan saya. "Padahal saya ini jumpa mereka masa mesyuarat untuk urusan nikah kahwin saja," luahnya. April lalu, kisah Azri dan Noora menjadi perhatian apabila foto mereka makan bersama tular di media sosial yang turut disertai Ellie. Noora dan Ellie sebelum ini berbaik demi Azri. Malah rakan baik Noora iaitu penerbit Datuk Ayu Puteh juga seakan-akan memberi bayangan Azri bakal menamatkan zaman duda dengan sahabatnya itu. Bagaimanapun pada Selasa lalu, Noora memberitahu mStar hubungannya dengan Azri sudah berakhir disebabkan tiada keserasian untuk hidup sebagai suami isteri. Isu menjadi semakin hangat apabila Ellie memberitahu punca pasangan itu tidak jadi kahwin kerana Noora tidak bersetuju tarikh pernikahannya dengan Azri ditunda. Ellie turut berasa kesal apabila Noora memberi alasan tiada keserasian dalam hubungannya. Tambah Ellie, dia tidak bersetuju dengan beberapa perkara ketika perbincangan berkaitan perkahwinan Azri dan Noora dilakukan yang dianggap sebagai berat sebelah selain perlu mengikut telunjuk usahawan tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!