HARAPAN peminat melihat gandingan semula di antara Nuha Bahrin dan Naufal Azrin tipis apabila penyanyi itu mahu memberi fokus kepada karier secara solo. Nuha atau Nuha Sakina Saiful Bahrin, 23, berkata, penglibatan mereka dalam industri muzik juga bukan sebagai rakan duo sebaliknya hanya dipertemukan untuk sebuah projek istimewa. "Saya tahu ramai peminat harapkan saya dan Naufal bekerjasama untuk lagu lain. "Tetapi kami sekarang mahu memberi fokus kepada karier solo untuk menyerlahkan kredibiliti kami kepada peminat. Nuha mengakui rezekinya sebelum ini lebih terarah kepada lagu duet bersama Naufal. "Lagipun kami bukanlah pasangan duo sejak awal. Kebetulan rezeki kami apabila lagu duet menerima sambutan luar biasa pendengar," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Nuha kini adalah artis naungan syarikat rakaman antarabangsa iaitu EMI Music sejak 3 Jun lalu selepas kontrak bersama Beegood Music tamat. Jelas Nuha, dia membuat keputusan bersama EMI Music kerana ingin mencari peluang lain dan percaya syarikat rakaman berkenaan boleh membantu mencapai potensinya sebagai penyanyi. ARTIKEL BERKAITAN: Selepas fenomena ‘Casablanca’, Nuha Naufal kembali kolaborasi menerusi ‘Iktiraf’ sempena Ramadan ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cinta di hati Nuha Bahrin, anggap Naufal Azrin macam abang sendiri "Saya nak bergerak solo sebab nak cari lebih banyak peluang untuk tunjukkan keunikan saya sebagai penyanyi kepada peminat. "Kami berdua pun masih muda dan baru lagi dalam industri muzik. Saya rasa tak salah untuk kami fokus kepada karier solo masing-masing," katanya. Sebelum ini, Nuha dan Naufal pernah mencipta fenomena menerusi lagu duet berjudul 'Casablanca' sehingga mendapat perhatian pendengar di Indonesia. Kejayaan tersebut tidak terhenti, apabila kedua-dua penyanyi itu tampil merakamkan semula lagu Melly Goeslaw berjudul 'Jika' dalam versi bahasa Arab. Kami bukanlah pasangan duo sejak awal pembabitan dalam dunia seni. NUHA BAHRIN PENYANYI Versi tersebut turut mendapat perhatian Melly malah penyanyi dan komposer asal Indonesia itu turut menawarkan diri menciptakan sebuah lagu buat Nuha. Mengulas berkenaan tawaran tersebut, Nuha menjelaskan pihaknya dan Melly tidak pernah berbincang untuk melakukan sebarang projek bersama. "Sebelum ini pun memang tiada kata sepakat untuk buat apa-apa projek dengan Melly pun. "Kita cuma berkerjasama menerusi projek lagu Jika versi bahasa Arab itu saja," katanya. Walaupun membuat haluan masing-masing, Nuha tetap menyokong kerjaya Naufal. Namun, Nuha mengakui sangat teruja sekiranya diberi peluang untuk menyanyikan lagu ciptaan Melly. Malah, dia turut menyimpan impian untuk menjadi salah seorang penyanyi jemputan di konsert penyanyi itu. "Melly sangat profesional dan saya sendiri tak sabar kalau diberikan peluang berkerjasama dengan Melly. "Saya pasang impian untuk jadi salah seorang penyanyi jemputan konsert Melly tetapi saya rasa agak ‘kerdil’ di situ," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!