suria

Kotak hiburkan peminat Malaysia, kongsi pentas bersama Ifan Seventeen dan Ello

Ifan (kiri) dan Kotak bakal hiburkan peminat Malaysia.

PEMINAT kumpulan muzik Kotak pastinya teruja menantikan kehadiran mereka menghiburkan semua dalam acara Indonesia Music Festival yang bakal berlangsung Ogos depan.

Popular dengan lagu-lagu seperti Masih Cinta dan Tendangan Dari Lagi, nama kumpulan Kotak tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia.

Malah sejak awal kemunculan mereka sekitar tahun 2007, karya-karya mereka mudah mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik mereka.

festival muzik indo 2

Ifan dan Ello bakal membawakan lagu-lagu popular mereka.

Kehadiran Tantri selaku vokalis, Cella (gitar) dan Chua (bes) semestinya dinantikan kerena mereka sudah lama tidak beraksi dalam mana-mana acara di Malaysia.

Bukan hanya Kotak, festival muzik yang bakal diadakan di Arena Axiata, Bukit Jalil ini turut menggabungkan penyanyi Ifan Seventeen.

Meskipun kini semakin aktif bergerak secara solo, nama Ifan tidak kurang hebatnya disebabkan lagu-lagu viral di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali ke Pulau Pinang, Ungu kenyang makan nasi kandar... Terharu 10,000 peminat banjiri konsert

ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa Kacau 2024 himpun 15,000 penonton, dapat pengiktirafan Malaysia Book of Records

Karya berjudul Kemarin merupakan antara salah satu lagu yang terus melonjakkan nama Ifan di Malaysia terutama bagi peminat golongan muda.

Tragedi kehilangan rakan-rakan yang meninggal dunia akibat bencana tsunami pada tahun 2018 tidak mematahkan semangat Ifan untuk terus membawa nama Seventeen.

Lagu-lagu mereka yang kekal menjadi siulan sehingga kini termasuklah Cinta Jangan Disembunyikan, Akujira dan Menunggu Kamu.

festival muzik indo 3

Gabungan tiga penyanyi yang pasti memberi persembahan terbaik sempena Festival Muzik Indonesia.

Lebih meriah lagi festival muzik ini juga turut membawa vokalis kumpulan Dewa 19 iaitu Ello untuk sama-sama membuat persembahan.

Selain bersama Dewa 19, Ello juga dengan lagu-lagu solo dan pernah mengungguli trofi Artis Baru Terbaik sempena Anugerah Muzik Indonesia pada 2005.

Gabungan tiga artis ini bakal menghangatkan pentas Festival Muzik Indonesia pada 24 Ogos bermula pukul 7 malam.

Tiket persembahan boleh didapati di www.bookmyshow.com dan dijual bermula harga RM188 sehingga RM488 bagi pembelian tempat duduk VIP.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain