PELABURAN penyanyi Aepul Roza untuk pentas akhir The Hardest Singing Show (THSS) berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai juara musim pertama program itu. Aepul atau Noor Syaiful Muhd Zalaludin, 36, memberitahu untuk persembahan pertama menerusi lagu It's My Life sahaja memakan kos sebanyak hampir RM30,000 secara keseluruhan. Dengan kemenangan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150,000, Aepul meluahkan rasa syukur segala pengorbanan yang dilakukannya akhirnya membuahkan hasil. "Alhamdulillah balik modal, persembahan saya untuk lagu solo pusingan pertama itu sahaja memakan kos hampir RM30,000. Aepul sentiasa memberikan persembahan yang memukau. "Keseluruhan untuk 10 minggu persembahan di THSS saya sudah menghabiskan sebanyak RM60,000 tapi Alhamdulillah rezeki Allah beri sambil saya menyertai program ini banyak juga tawaran persembahan luar yang saya terima. "Gaji yang saya dapat dalam program ini pun awal-awal saya sudah berniat tak mahu bolot seorang kerana ingin kongsikan bersama team yang lain," katanya kepada mStar. Aepul berkongsi perkara itu menerusi sidang media peringkat akhir The Hardest Singing Show yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada malam Ahad. Dalam pada itu, Aepul mendedahkan gelaran juara yang diraih menerusi program THSS adalah kemenangan pertama yang diperoleh sepanjang bergelar anak seni. ARTIKEL BERKAITAN: Aepul Roza juara The Hardest Singing Show, bawa pulang wang tunai RM150,000 ARTIKEL BERKAITAN: 9 penyanyi popular sahut cabaran, ‘The Hardest Singing Show’ cari kreativiti dalam persembahan Kata Aepul, sebelum ini dia dan anggota kumpulannya iaitu Drama Band memang berasal dari program realiti televisyen namun masih belum mempunyai rezeki untuk bergelar juara. "Ya ini sebenarnya merupakan pertama kali saya menjuarai mana-mana pertandingan yang saya sertai. "Drama Band sebelum ini memang berasal dari program realiti. Saya sendiri penyanyi solo juga berasal dari program televisyen juga. "Untuk gerakan solo saya terkandas di pusingan separuh akhir dan dengan Drama Band pula kami hanya berjaya mara ke peringkat akhir dan mendapat gelaran naib juara sahaja... Jadi ini adalah pertama kali saya merasai momen menjadi juara," ujarnya. Alhamdulillah balik modal, persembahan saya untuk lagu solo pusingan pertama itu sahaja memakan kos hampir RM30,000. AEPUL ROZA PENYANYI Berkongsi cerita tentang kemenangan di THSS, Aepul menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam pembabitannya sepanjang program berlangsung dan peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadapnya. Tambah Aepul, dia masih tidak mempunyai perancangan untuk menggunakan wang kemenangan dan berjanji akan berkongsi dengan tenaga kerja yang bertungkus lumus membantu dalam setiap persembahannya. "Saya sangat menghargai kemenangan ini ingin mengucapkan terima kasih buat semua yang sudah berharap dan memberikan sokongan kepada saya. "Itu yang saya cakap sebelum ini, saya perlu menang untuk mereka (penyokong dan team). Aepul membawakan lagu It's My Life nyanyian Bon Jovi. "Buat masa ini saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menggunakan hadiah wang tunai itu tetapi yang pasti saya akan kongsikan dengan semua team saya yang sudah berusaha sepanjang program ini," katanya. Untuk info, Aepul bergelar juara THSS dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 bersama pakej percutian pelayaran dan sebuah trofi. Naib Juara disandang oleh Ayda Jebat, tempat ketiga Stacy yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000. Manakala tempat keempat dimenangi oleh Aisha Retno, tempat kelima Putera Muhammad dan Zizi Kirana berjaya menempatkan diri ke tempat terakhir. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!