PERSEMBAHAN ‘standing ovation’ Aepul Roza menepati ramalan apabila penyanyi berkenaan bergelar juara The Hardest Singing Show (THSS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras pada malam Ahad. Kemenangan itu sekali gus memperlihatkan Aepul atau Noor Syaiful Muhd Zalaludin, 36, menewaskan lima peserta lain bertanding di peringkat akhir iaitu Ayda Jebat, Aisha Retno, Stacy, Zizi Kirana dan Putera Muhammad. Dalam ucapannya, Aepul memberitahu ini merupakan kali pertama dia memperoleh kemenangan dalam mana-mana pertandingan. Penyanyi berkenaan turut melakukan sujud syukur sewaktu namanya diumumkan sebagai juara. Aepul berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150,000. "Saya tak pernah menang apa-apa pertandingan walaupun cabutan bertuah. Alhamdulillah rezeki Allah. "Terima kasih kepada semua juri-juri dan penonton yang menyokong THSS," katanya. Pada peringkat akhir, Aepul membawakan lagu It's My Life nyanyian Bon Jovi dan mempersembahan lagu duet Melompat Lebih Tinggi bersama Putera Muhammad di pusingan kedua. Dalam pada itu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri jemputan memuji persembahan luar biasa Aepul yang tampil membawakan idea di luar kotak. ARTIKEL BERKAITAN: 9 penyanyi popular sahut cabaran, 'The Hardest Singing Show' cari kreativiti dalam persembahan ARTIKEL BERKAITAN: Dapat panggilan tunaikan haji, Alyah umum tarik diri program 'The Hardest Singing Show' Kata Siti, dia tidak menyangka vokalis kumpulan Drama Band itu mampu memberikan persembahan berbeza dengan personaliti yang dibawa sebagai penyanyi sebelum ini. "Persembahan awak berjaya buat darah saya naik. Awak sudah memberikan seluruh tenaga dan idea. "Kita kenal dengan lagu awak sebelum ini tetapi kita tidak menyangka awak dapat buat persembahan hebat seperti ini. "Di pentas final ini persembahan awak antara yang membuatkan saya kagum," ujarnya. Aepul membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 bersama pakej percutian pelayaran dan sebuah trofi. Naib Juara pula dimenangi oleh Ayda Jebat, tempat ketiga Stacy yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000. Persembahan berani dan memukau Aepul. Manakala tempat keempat dimenangi oleh Aisha Retno, tempat kelima Putera Muhammad dan Zizi Kirana berjaya menempatkan diri ke tempat terakhir. Anugerah Pilihan Singging Show Alha Alfa dimenangi oleh Stacy selepas mendapat undian dalam talian tertinggi dan melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000. THSS bersiaran selama 10 minggu secara langsung di saluran Astro Ria dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Rina Nose. THSS menampilkan Edry Abdul Halim dan Zizan Razak sebagai barisan juri tetap serta penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan pelakon Adlin Aman Ramli sebagai juri jemputan Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube