suria

[V] Peminat tak puas hati cuma dapat tempat kelima, Putera Muhammad ambil masa untuk terima keputusan

PENYANYI Putera Muhammad reda dengan keputusan berada di kedudukan tempat kelima dalam program realiti The Hardest Singing Show (THSS) pada malam Ahad.

Meletakkan impian untuk menjuarai pertandingan berkenaan, Putera atau Putera Muhammad Shamsull Kamar, 31, berkata dia mengambil masa beberapa saat untuk menerima keputusan itu.

"Secara peribadi saya yakin sesiapa sahaja yang masuk ke peringkat akhir pasti mahukan kemenangan atau mempunyai sasaran kedudukan tertinggi.

"Bila saya diumumkan sebagai pemenang nombor lima, saya ambil masa dalam dua saat untuk berfikir dan reda dengan keputusan yang diberi.

Persembahan memukau Putera menerusi lagu Jeritan Batinku.

Persembahan memukau Putera menerusi lagu Jeritan Batinku.

"Bukanlah saya nak cakap tak bersetuju dengan keputusan juri kerana selepas membuat persembahan saya pun tak sempat nak lihat peserta lain, jadi saya tidak tahu bagaimana kehebatan persembahan mereka," katanya kepada mStar.

Putera berkongsi perkara itu menerusi sidang media peringkat akhir The Hardest Singing Show yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Dalam pada itu, Putera memberitahu dia berpuas hati dengan persembahan pada malam akhir dan mengucapkan terima kasih buat semua penyokong.

Malah, dia turut memohon maaf sekiranya keputusan yang diterima dalam program THSS ini mengecewakan ramai peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhabis RM30,000 untuk malam final, Aepul Roza syukur balik modal menang THSS

ARTIKEL BERKAITAN: Seluar sendat nampak bonjolan, Putera Muhammad mohon maaf

"Daripada segi teknikal, suara dan reaksi penonton juga Alhamdulillah semua komen yang diterima tidak ada yang 'membantai' (negatif).

"Saya hanya mengharapkan yang terbaik tetapi apabila keputusan seperti itu saya reda kerana semuanya bergantung kepada rezeki, kita tidak boleh nak buat apa.

"Terima kasih kepada semua yang memasang harapan kepada saya untuk mendapat kedudukan yang tinggi tetapi saya ingin minta maaf sekiranya ada yang kecewa dengan keputusan yang saya perolehi," ujarnya.

Mengulas lanjut keputusan yang diterima oleh Putera, juri tetap iaitu komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim memaklumkan kesemua peserta akhir THSS masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan dari segi persembahan pentas.

Bila saya diumumkan sebagai pemenang nombor lima, saya ambil masa dalam dua saat untuk berfikir dan reda dengan keputusan yang diberi.

PUTERA MUHAMMAD

PENYANYI

Kata Edry, dia melihat potensi besar yang dimiliki oleh Putera namun menyifatkan persembahan penyanyi berkenaan pada malam akhir sesuatu yang pernah disaksikan sebelum ini.

"Tak adil kalau saya kongsikan kelemahan dan kelebihan setiap peserta kami. Segala keputusan juri biarlah menjadi privasi atas kebebasan kami memilih.

"Kalau tanya fasal Putera, dia sebenarnya ada banyak potensi tetapi persona untuk menjadi juara mungkin kami (juri) tidak nampak begitu jelas.

"Melihat tema persembahan Putera, konsepnya sudah cantik tetapi memilih lagu yang sebegitu kami sudah pernah lihat sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, kedudukan Putera di tempat kelima dalam program THSS mengundang pelbagai reaksi netizen yang tidak berpuas hati dengan keputusan diberi.

Edry (tengah) menyifatkan persembahan Putera pernah dilihat sebelum ini.

Edry (tengah) menyifatkan persembahan Putera pernah dilihat sebelum ini.

Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka di laman X dan menganggap Putera seharusnya mendapat kedudukan yang lebih tinggi.

Malah ramai yang menyedari reaksi wajah Putera seakan terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang tempat kelima.

Untuk info, juara THSS disandang oleh Aepul Roza yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM150,000 bersama pakej percutian pelayaran dan sebuah trofi.

Naib Juara pula menjadi milik Ayda Jebat, tempat ketiga Stacy manakala tempat keempat dimenangi oleh Aisha Retno.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain