suria

Dewa Sapri asalnya hanya kru produksi, Mamat Khalid kesan bakat sebagai pelakon - “Orang kenal saya pun sebab filemnya”

Sapri mengimbau kenangan berlakon dibawah arahan Allahyarham Mamat (kanan).

PEMINAT pengarah Allahyarham Mamat Khalid pasti perasan akan kelibat pelakon Sapri Ibrahim yang banyak menghiasi filem dan drama arahannya.

Sapri atau lebih mesra dikenali sebagai Dewa Sapri, 69, memberitahu Allahyarham sebenarnya adalah individu yang memperkenalkan dia dalam dunia lakonan.

Ia bermula apabila Mamat memanggilnya berlakon dalam drama berjudul Namaku Yasin bergandingan dengan pelakon dan pelawak terkenal Allahyarham Harun Salim Bachik.

Tidak percaya dengan peluang diberikan, Sapri memberitahu dia asalnya hanyalah seorang pekerja belakang tabir namun Mamat bukan sahaja mengesan bakatnya tetapi diberikan peluang mengembangkan karier sebagai pelakon.

sapri2 - 1

Sapri dikenali selepas membintangi filem arahan Mamat.

"Banyak pengalaman tak boleh dilupakan bersama Mamat dan dialah memperkenalkan saya sebagai pelakon menerusi filem dan drama arahannya.

"Sebenarnya kami sudah berkawan sejak dia bergelar pengarah dan saya bekerja dengannya sebagai kru produksi sehinggalah dia tawarkan saya berlakon dalam drama Namaku Yasin.

"Awalnya saya hanya kru tetapi tiba-tiba dia suruh saya berlakon salah satu watak dalam drama berkenaan. Sejak itu saya memang banyak saya muncul dalam filem dan drama arahannya," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa mampu tandingi arwah Mamat Khalid, Awie dah tak fikir watak Hussin

ARTIKEL BERKAITAN: Aziz M. Osman dihujani tawaran berlakon, kenang Mamat Khalid jadi pembuka jalan

Berkongsi mengenai Mamat sebagai seorang pengarah, Sapri menyifatkan arwah seorang yang penuh dengan idea-idea spontan dalam menghasilkan sesuatu karya.

Sebagai sahabat dan pelakon, dia berasa puas kerana dapat memberikan terbaik dalam kesemua idea-idea Mamat dalam projek dihasilkan.

"Kadang-kadang dengan idea spontan muncul tiada dalam skrip.

"Walaupun kadang-kadang permintaannya di luar kotak namun sebagai pelakon saya puas dapat memenuhi semua permintaannya," ujarnya.

Saya banyak pengalaman yang tak boleh dilupakan bersama arwah Mamat. Mungkin orang kenal saya pun menerusi filem dia.

DEWA SAPRI

PELAKON

Berada di set penggambaran Mamat juga kata Sapri adalah pengalaman menggembirakan kerana sentiasa dalam suasana positif.

Malah kata Sapri, pihak produksi lain sepatutnya mencontohi gerak kerja Allahyarham yang sentiasa mengutamakan keselesaan pelakon.

"Saya seronok bekerja dengan arwah sebab kami sentiasa gembira dan ceria sepanjang berada di set penggambaran.

"Walaupun penat bekerja kami boleh terjerit-jerit kerana arwah seorang yang ceria malah sentiasa memasang lagu ketika berada di set penggambaran.

sapri1 - 1

Sapri bersama Kazar (kiri) dan Bell Ngasri (kanan) dalam drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-siri.

"Persekitaran itu perlu ada dalam setiap produksi dan bukannya kita pergi ke set penggambaran masing-masing tarik muka dan buat hal sendiri.

"Saya kurang selesa kalau bekerja dalam kumpulan sebegitu," katanya.

Mamat meninggal dunia pada 24 Oktober 2021 selepas diserang sawan dan rebah di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak.

Antara filem-filem arahan Mamat yang dibintangi Sapri termasuk Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, 'Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit', Rock 4: Rockers Never Dai dan 18 Puasa di Kampong Pisang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain