suria

Dharma Harun memilih tawaran, tidak mahu watak sampingan... Usaha hias rumah Allah sebelum tutup mata

Dharma tidak terfikir untuk kembali aktif berlakon.

LAMA tidak muncul dalam mana-mana drama atau filem, pelakon Dharma Harun memberitahu dia ada alasan tersendiri untuk tidak lagi menerima tawaran.

Bagi Dharma Harun Al Rashid, 67, sebagai seorang anak seni dia tidak mahu hanya diberi watak sampingan tanpa memberi kesan terhadap jalan cerita sesebuah naskah.

Biarpun tidak memegang watak hero, namun dia mahu setiap karakter yang diberi kepadanya mampu menghidupkan keseluruhan karya.

dharma harun 2

Dharma kini lebih aktif sebagai penerbit.

"Saya tak suka kalau dipanggil berlakon hanya menjadi bapa atau datuk. Kalau boleh saya ada di situ untuk kejar sesuatu, bukan sekadar watak sampingan.

"Biarlah watak saya itu menghidupkan sesebuah cerita. Bukan nak jadi hero, tetapi sebagai watak utama," katanya kepada mStar.

Dharma ditemui ketika hadir sebagai tetamu dalam majlis doa selamat anjuran Skop Productions yang berlangsung di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai bayar tunggakan sewa rumah, keluarga Dharma Harun sedia jika terpaksa berpindah

ARTIKEL BERKAITAN: Anak-anak kena kecam tak bantu Dharma Harun, Syafiq berserah kepada Allah tunjuk kebenaran - “Cukup kami sekeluarga tahu”

Kali terakhir dia berlakon adalah pada tahun 2012 menerusi filem Adik Manja Returns.

Kini lebih aktif sebagai penerbit, Dharma juga berharap dia dapat menyiapkan sebuah program berjudul Deko Ibadah untuk musim kedua sebelum menutup mata.

"Selepas Adik Manja Returns saya tidak mahu berlakon lagi. Tetapi saya juga tidak boleh berjanji, kalau badan sihat mungkin akan terima. Dalam keadaan sekarang saya pun tidak tahu bagaimana.

"Apa yang penting sebelum tutup mata (meninggal dunia), saya mahu siapkan Deko Ibadah 2. Saya nak hias rumah Allah. Itu harapan terakhir," ujarnya.

Bukan nak jadi hero, tetapi sebagai watak utama

DHARMA HARUN AL RASHID

PELAKON/PENERBIT

Kisah Dharma sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas timbul kekeliruan antara produksi miliknya dengan sebuah stesen televisyen berhubung penyiaran program Deko Ibadah yang sudah siap menjalani penggambaran.

Susulan itu, dia juga terpaksa menanggung hutang sewa rumah disebabkan masalah kewangan selepas program tersebut tidak disiarkan oleh stesen berkenaan.

Dalam masa sama, Dharma juga berdepan masalah kesihatan sehingga menyebabkan berat badannya turun sebanyak 20 kilogram berbanding 80 kilogram sebelum itu.

dharma harun 3

Kisah keluarga Dharma sebelum ini mendapat perhatian ramai.

"Alhamdulillah, kehidupan sekarang semakin stabil. Saya ini seorang penerbit... apa cara sekali pun kena cari duit untuk teruskan hidup.

"Saya tidak mahu terlalu bergantung harap pada orang lain. Saya bukanlah orang susah. Cuma ada ketikanya pernah berdepan waktu sukar," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain