suria

Bimbang jenayah kanak-kanak meningkat, Lah Ahmad amal al-Mulk sebagai pelindung diri dan keluarga

Lah amalkan al-Mulk sebagai amalan untuk lindungi diri dan keluarga.

SEBAGAI bapa kepada tiga cahaya mata, penyanyi Lah Ahmad ada perasaan bimbang apabila membaca pelbagai kes culik, bunuh dan hilang membabitkan kana-kanak yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Lah atau Abdullah Ahmad, 44, berkata, sebagai pelindung dia dan keluarganya mengamalkan membaca surah al-Mulk yang mempunyai pelbagai kelebihan dalam melindungi diri seseorang di dunia dan akhirat.

“Sangat merisaukan, lagi-lagi sekarang setiap minggu ada sahaja kes melibatkan kanak-kanak, memang akhir zaman ini banyak dugaan lebih-lebih lagi melibatkan gajet.

NP-194

Lah bimbang anak-anak muda terlalu terdedah dengan gajet.

“Tapi saya pesan pada anak-anak saya yang gajet tak boleh bawa masuk kubur cuma amalan kita sahaja akan dibawa.

“Jadi dari situ saya suka baca dan hafal surah al-Mulk bersama isteri dan anak-anak, bila dah selalu buat aktiviti macam itu rasa seronok.

“Memang saya bukan ustaz tapi siapa lagi nak mulakan kalau bukan ketua keluarga,” katanya kepada mStar.

Lah berkongsi perkara itu pada sidang media album Qasidah Kalbu Untuk Yang Dirindu di D’Intan Grand Hall, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lah Ahmad cabar diri beraksi depan kamera, bukan mudah bawa watak berebut wang tunai RM1 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Lah Ahmad amal puasa cara bersihkan jiwa, mampu tambah stamina menjelang konsert di Istana Budaya

Dalam pada itu, Lah memberitahu sebagai bapa, dia sentiasa memantau penggunaan gajet anak-anaknya kerana bimbang mereka terdedah kepada perkara negatif.

“Saya pantau anak-anak saya main gajet tapi selalunya saya akan bersembang dengan mereka.

“Kalau benda tak betul saya akan tegur dengan cara baik, kena tapis dari awal sebelum mereka terdedah dengan perkara tidak sepatutnya,” katanya.

Untuk rekod, Lah mendirikan rumah tangga pada 2007 dan mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu Amira, 15, Adam, 13, dan Azim, 10 tahun.

NP-195

Lah ketika sidang media album Qasidah Qalbu Untuk Yang Dirindu.

Dalam perkembangan lain, Lah tampil berkaborasi bersama Inteam, Pot Innuendo, Azan Ruffedge, Amer BinYusoff, Zaf VE dan Ustaz Kyrel Al-Gayauwi dalam album Qasidah Qalbu Untuk Yang Dirindu.

Album itu mendapat sokongan dalam bentuk dana berjumlah RM100,000 bagi 10 buah lagu dan video muzik dari pihak Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Malah album itu diterbitkan sebagai dedikasi khas untuk Rasulullah SAW sempena hari ulang tahun kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Sebelum

Artikel Lain