PENYANYI Aina Abdul menepis dakwaan dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan juruvideo peribadinya. Kata Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, buat masa ini dia tidak mempunyai masa memikirkan soal percintaan kerana sibuk dengan karier seninya yang sedang berkembang. “Saya perlu berhati-hati untuk jawab soalan ini, banyak hati perlu saya jaga terutama ibu saya. “Tapi apa boleh saya katakan tiada seseorang yang istimewa dalam hati, saya hanya fokus kerja. Aina belum memikirkan soal cinta. “Siapa pun lelaki yang datang dalam hidup saya mereka akan rugi dan tidak beruntung kerana saya sangat sibuk,” katanya kepada mStar. Aina menjelaskan perkara itu ketika ditemui semasa sidang media Aina Abdul Imaji Tour di Hotel Imperial Lexis pada Isnin. Dalam masa sama, Aina menjelaskan dia sama sekali tidak akan berkongsi secara terbuka sekiranya dia mempunyai teman lelaki. Ini kerana kata Aina perihal berkaitan soal hati dan perasaan terlalu peribadi baginya. ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab dipilih penyanyi pembukaan konsert Ailee, Aina Abdul janji persembahan bertenaga ARTIKEL BERKAITAN: Dalam persalinan gah tapi hilang diri sendiri, 2023 tahun sukar buat Aina Abdul “Cukuplah kenali saya melalui lagu-lagu saya. Tidak ada apa yang akan keluar daripada mulut saya. “Apa sahaja dispekulasikan, ia adalah kerana saya hanya bekerja dan berjumpa dengan orang yang sama,” ujarnya. Ditanya mengenai bila hatinya akan terbuka, kata Aina dia masih belum bersedia untuk ke fasa tersebut. Jelas Aina masih banyak perkara yang perlu diuruskan sebelum dia befikir tentang hubungan cinta. “Saya boleh katakan, hati ini masih belum bersedia. Banyak perkara perlu saya uruskan termasuk fasal konsert. “Bila masanya pintu hati akan terbuka, Allah sahaja yang mampu menjawab soalan itu. Tidak berani nak kata tidak pada cinta, kerana itu semua perancangan Allah,” katanya. Aina memberi fokus terhadap konsert jelajah 'Aina Abdul Imaji Tour'. Bercerita mengenai Konsert Aina Abdul Imaji Tour, Aina bakal menjelajah ke tiga lokasi iaitu di Sarawak, Kedah dan Kuala Lumpur bermula Disember sehingga Januari tahun depan. Tiga lokasi tersebut adalah Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember, Zepp, Kuala Lumpur (27 Disember) dan Universiti Utara Malaysia, Kedah (11 Januari 2025). “Ini adalah peluang bagi saya untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat dari kawasan luar Kuala Lumpur dan pelbagai latar belakang termasuk golongan mahasiswa,” ujarnya. Tiket bagi menyaksikan konsert tersebut dijual pada 10 September pukul 10 pagi di laman web Ticket2u. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube