PELAKON Alif Hadi mendedahkan dia pernah melangsungkan perkahwinan di awal usia 20-an namun bercerai selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Alif atau Muhammad Alif Abdul Hadi, 36, berkata, dia sebelum ini tidak pernah bercerita mengenai perkahwinannya itu kerana bekas isterinya berasal daripada keluarga berpengaruh dan enggan menjadi buah mulut orang. "Ramai orang tak tahu sebab saya tidak mahu timbul masalah 'ain' atau orang bercerita mengenainya. "Jadi biarlah saya simpan kisah peribadi itu sendiri. Ramai juga bertanya soal rumah tangga saya yang dulu tapi saya tidak terlalu berkongsi. Rumah tangga Aliff hanya kekal selama tujuh tahun. "Bekas isteri saya daripada keluarga dikenali dalam kalangan politik, jadi kadang-kadang perkara (kisah rumah tangga) ini pun boleh dijadikan bahan dalam politik," katanya. Alif berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di podcast Confession Bilik Gelap yang dimuat naik di YouTube. Dalam pada itu, Alif memberitahu berkahwin di usia muda menjadi salah satu faktor dia gagal mempertahankan mahligai rumah tangga tersebut. Kongsi Alif, selama tujuh tahun dia bertahan kerana menjaga hati isteri dan keluarga namun akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Alif Hadi dalam proses ‘healing’, hubungan cinta 3 tahun dengan Yasmin Hani sudah berakhir ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Kekasih kerap datang makan, Yasmin Hani jawab tuduhan tinggal serumah dengan Alif Hadi... “Mak saya nak letak dekat mana?” "Mungkin itu (kahwin muda) salah satu faktor juga, saya berkahwin ketika usia saya dalam lingkungan 22 atau 23 tahun. Waktu itu saya baru habis belajar terus kahwin. "Setahun kami bercinta, dua tahun bertunang dan tujuh tahun melayari alam perkahwinan. "Selok-belok alam perkahwinan pun saya masih belum tahu. Tujuh tahun bertahan, itu pun keputusan sukar sebab saya jenis fikirkan orang lain berbanding diri sendiri. "Saya fikir air muka ibu bapa, mentua dan isteri tapi lama-lama saya yang hilang diri sendiri. Saya fikir, saya bazirkan tujuh tahun ini untuk hidup orang lain. Berbaloi ke? "Sampai satu tahap saya tidak boleh mempertahankan hubungan itu. Kalau kita hilang orang tak mengapa, jangan kita hilang diri sendiri," ujarnya. Alif mengakui perkahwinan di usia muda menjadi faktor dia gagal mempertahankan rumah tangganya itu. Alif bagaimanapun mendedahkan perkahwinan pertama itu banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati memilih bakal isteri. "Perkahwinan pertama mengajar saya untuk lebih berhati-hati dalam memilih pasangan. Biarlah elok di mata saya. "Kedua, saya akan lihat tingkah laku, baik dan buruknya. Kalau lebih kepada keburukan, saya perlu berfikir semula. "Jangan disebabkan cinta dan sayang kita abaikan segala 'red flag' yang ada," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!