PENGARAH Chong Keat Aun sekali lagi mencipta sejarah tersendiri menerusi filem terbaharunya di peringkat antarabangsa. Filem arahan terbaharunya berjudul Pavane For An Infant berentap di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-37 (TIFF) menerusi kategori Asian Future. Pavane For An Infant adalah satu-satunya produksi dari Malaysia yang bertanding di festival berkenaan tahun ini dan kategori tersebut menghimpunkan semua pembikin filem dari negara Asia. Teruja dengan pengiktirafan daripada TIFF, Chong menyifatkan karya terbaharunya itu sebagai sebuah filem seni yang cukup memainkan peranan penting dalam hasil kerjanya. "Sebagai pembikin filem terutamanya yang menghasilkan genre bukan komersial, terdapat isu yang mana tidak panggung wayang di Malaysia mendedikasikan karya seperti itu. "Festival filem antarabangsa menjadi platform penting dalam mempromosikan dan mengetengahkan hasil kerja saya," katanya kepada The Star. Pavane For An Infant mengangkat kisah mengenai 'baby hatch' sebagai latar utama penceritaannya. Chong, 46, berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pembukaan TIFF di Ginza, Tokyo pada Isnin. Pavane For an Infant menampilkan aktres kelahiran Malaysia iaitu Fish Liew sebagai pekerja sosial di sebuah pusat perlindungan bayi yang cuba membantu remaja bawah umur ingin menggugurkan kandungan. Ia turut menampilkan Pearlly Chua dan pelakon Hong Kong iaitu Natalie Hsu. Mengangkat isu sensitif sebagai subjek utama, Chong memberitahu festival filem antarabangsa adalah lokasi paling sesuai untuk melakukan tayangan perdana naskhah berkenaan kepada penonton. "Festival filem biasanya tidak melibatkan rating atau penapisan, jadi penonton dapat menikmati naskhah ini dalam bentuk paling tulen dan menyeluruh," katanya yang memberitahu garis panduan baharu Lembaga Penapisan Filem (LPF) lebih ketat. Awal tahun ini, LPF memperkenalkan garis panduan baharu buat pembikin filem yang memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya. Berentap bersama sembilan filem hebat lain dari rantau Asia, Chong tidak mensasarkan kemenangan sebaliknya mahu hasil kerjanya mencapai lebih banyak penonton di peringkat global. "Pada saya ini bukan tentang kemenangan tetapi mahu mencapai lebih banyak penonton di dunia. "Apatah lagi festival filem adalah lokasi paling baik untuk mencapai perkara itu dan mungkin satu-satunya tempat untuk menonton karya indie di skrin besar," tambahnya. Besar harapan Chong agar filem arahannya dapat mencapai penonton di seluruh dunia. Kecemerlangan Chong di peringkat antarabangsa bukan perkara asing apabila karyanya berjudul The Story of Southern Islet memenangi Pengarah Baru Terbaik di Anugerah Golden Horse Taiwan pada 2020. Chong juga baharu sahaja menyiapkan karya keempatnya iaitu Mother Bhumi yang menjalani penggambaran di Kedah. Paling menarik, filem itu bakal diserikan dengan penampilan bintang terkenal China iaitu Fan Bingbing. Tahun ini, TIFF berlangsung dari 28 Oktober sehingga 6 November dengan pelakon Hong Kong iaitu Tony Leung Chiu Wai bertindak sebagai ketua juri. "Saya sangat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pasukan juri tahun ini. Saya berharap penilaian kami akan membuatkan semua orang gembira. "Ia bukan kerja senang untuk dilakukan tetapi kami akan cuba memberikan yang terbaik," katanya pada majlis pembukaan TIFF. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!