suria

Ara Johari tukar gaya lebih feminin, ubah imej rock... Sekarang ikut trend nyanyi lagu galau

Penampilan Ara kini lebih feminin.

MAHU bereksperimen dengan pelbagai gaya, penyanyi Ara Johari terbuka untuk mengikuti trend semasa terutamanya mengenai penampilan dan pemakaian.

Disebabkan itu, Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, 27, memilih untuk kelihatan lebih feminin dan elegan berbanding imej rock yang pernah dibawa sewaktu awal kemunculan dalam industri.

"Sekarang ini saya juga menukar fesyen ke arah lebih feminin, sebab tak mahu terlalu selesa bila berada dalam industri. Cara penampilan perlulah mengikut keadaan dan majlis tertentu.

ara2 - 1

Ara terbuka untuk bergaya mengikut trend terkini.

"Tetapi apabila di atas pentas saya memang minta untuk pakai seluar sebab di situlah watak rock dalam diri saya muncul," katanya kepada mStar.

Ara ditemui ketika sidang media Konsert Rentas Masa yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.

Bukan hanya dalam berpakaian, tambahnya lagi soal pemilihan muzik juga menjadi keutamaan supaya setiap lagu yang dihasilkan menerima sambutan baik peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ara Johari semakin matang layan kerenah netizen, tak mudah melenting kecuali sentuh satu perkara

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Peminat lelaki ‘berselera’ imej tomboi, Ara Johari tampil feminin bukan sebab elak gangguan

Malah dia juga bijak mengambil peluang dengan menghasilkan lagu baharu dengan genre yang semakin menjadi tumpuan pengguna media sosial.

Baginya tiada alasan untuk menolak sesuatu yang baharu sekiranya ia dapat memberi manfaat baik dalam perkembangan kerjaya seninya.

"Jika kita lihat sekarang ini memang trend pengguna TikTok dan lagu-lagu galau mendapat sambutan. Sebab itu saya berani tampil dengan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain sebelum ini. Kita kena ikut apa yang orang ramai mahukan. Kalau selepas ini trend rap, mungkin saya boleh kolaborasi dengan artis lain.

Sekarang ini saya juga menukar fesyen ke arah lebih feminin, sebab tak mahu terlalu selesa bila berada dalam industri.

ARA JOHARI

PENYANYI

"Cuma jika sampai trend dangdut, saya rasa perlu rehat seketika. Saya bukanlah penyanyi yang ke arah genre sebegitu. Apa yang saya buat ini juga sebagai satu eksperimen untuk melihat apa yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang penglibatan dalam konsert berkenaan, Ara berkata dia tidak berfikir panjang untuk memberi kata setuju apabila dapat berkongsi pentas dengan artis-artis hebat tanah air.

Selain Ara, konsert turut menampilkan penyanyi Datuk Jeffrydin, Datuk DJ Dave, Datuk Awie dan Ziana Zain yang mana semuanya mewakili setiap era muzik tersendiri.

"Apabila ditawarkan perkara pertama yang saya lihat adalah barisan artis terlibat. Mereka ini semua adalah idola saya dan konsert sangat unik kerana menggabungkan artis dari pelbagai generasi.

ara1 - 1

Ara bakal beraksi Konsert Rentas Masa pada 31 Disember ini.

"Mereka ini adalah nama-nama besar dalam industri. Jika tiada saya sekalipun orang akan beli tiket. Saya hanya penyeri sahaja dalam konsert," luahnya.

Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 31 Disember ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur sempena sambutan tahun baharu 2025.

Tiket akan mula dijual pada 11 November di www.ilassotickets.com.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain