KOMPOSER terkenal Allahyarham Datuk S Atan sempat menulis tiga buah lagu baharu untuk seorang penyanyi wanita sebelum menghembuskan nafas terakhir pada petang Sabtu. Adik Allahyarham yang juga penulis lirik iaitu Fatah Hasan Said atau Belle, 66, berkata, projek lapan buah lagu itu menjadi kolaborasi terakhir mereka dan berasa ralat ia tidak dapat disiapkan seperti dirancang. “Sejak tahun 1979 saya sudah mula bekerjasama dengan arwah. Banyak lagu dan album hasil kami hasilkan bersama. “Ketika ini kami sedang menyiapkan sebuah album lapan lagu untuk seorang penyanyi wanita baru. Fatah mendedahkan Allahyarham sempat menulis tiga buah lagu baharu. “Arwah sempat menyiapkan tiga lagu manakala saya pun sudah siapkan dua lagu,” katanya. Belle berkongsi perkara itu ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Kajang, Selangor pada petang Sabtu. Menyifatkan arwah seorang yang komited terhadap muzik, Belle meluahkan rasa kagum dengan S Atan yang masih mampu berkarya walaupun kesihatannya terjejas sejak kebelakangan ini. Belle turut menganggap penyanyi wanita tersebut cukup bertuah kerana mendapat buah tangan terakhir daripada seorang komposer hebat. ARTIKEL BERKAITAN: Komposer S Atan meninggal dunia akibat sesak nafas ARTIKEL BERKAITAN: Aznil Nawawi imbau pertemuan terakhir dengan S Atan, tergerak hati jumpa arwah pada hari jadinya “Arwah sakit dah lama. Dia pernah dimasukkan ke hosipal disebabkan jangkitan pada paru-paru dan jantungnya lemah. “Dalam keadaan tak sihat dia masih lagi berkarya. Malah sempat memenuhi jemputan majlis di Sabah baru-baru ini. “Penyanyi wanita itu nanti cukup bertuah kerana mendapat karya terakhir S Atan,” ujarnya. Meskipun mengetahui keadaan arwah tidak sihat, Belle akui terkejut apabila menerima perkhabaran S Atan pergi buat selama-selamanya. Arwah sempat menyiapkan tiga lagu manakala saya pun sudah siapkan dua lagu. FATAH HASAN ADIK S ATAN Apatah lagi kata Belle, mereke sering berhubung dan berjumpa namun tidak berkesempatan bertemu dengan arwah pada Jumaat. “Kami selalu berhubung. Cuma saya tak sempat nak berjumpa arwah semalam (Jumaat) seperti yang dirancang. “Memang terkejut mendapat berita arwah sudah tiada,” jelasnya. S Atan menghembuskan nafas pada usia 75 tahun. Belle merupakan adik bongsu S Atan daripada 13 adik-beradik manakala pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS merupakan anak saudaranya. Pada petang Sabtu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian S Atan atau Hashim Said, 75, pada pukul 3.53 petang di kediamannya di Kajang, Selangor akibat sesak nafas. Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh isterinya iaitu Datin Norizan Yeob. Jenazah dijangka dikebumikan pada pagi Ahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan dekat Kajang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!